• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Tunai Janji Taja Umrah Atlet Cemerlang SUKMA

Wan Sukairi Wan Abdullah (tengah) membawa dua atlet cemerlang SUKMA 2018 menunaikan umrah.
Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Kerajaan Terengganu menunaikan janji untuk menaja dua atlet cemerlang Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 ke Mekah bagi menunaikan umrah.

Ianya terbukti apabila Atlet Wanita Terbaik SUKMA 2018, Azreen Nabila Alias dan Atlet Terbaik Berbasikal SUKMA 2018, Nur Aishah Muhammad Zubir dibawa sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah bagi mengerjakan ibadah suci itu.

Menurut Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, kedua-duanya dianugerahkan hadiah bonus berupa pakej umrah, salah seorang ditaja Imtiyaz Travel & Tours Sdn Bhd, manakala seorang lagi ditaja Whe Mumtaz Travel & Tours Sdn. Bhd. atas kecemerlangan mereka dalam SUKMA 2018 tempohari.

"Alhamdulillah, insya-Allah kami bertolak ke tanah suci petang ini. Saya pesan pada Azreen, jangan berlari pecut masa tawaf dan saie nanti, takdan (tak sempat) saya nak kejar," katanya bergurau.

"Doakan kami semua agar selamat pergi dan balik, dikurniakan kesihatan, dipermudahkan urusan serta dikurniakan umrah yang mabrur insya-Allah," ujarnya dalam status yang dimuat naik di Facebooknya semalam.


Beliau mengetuai rombongan umrah tersebut, disertai 2 atlet bersama keluarga masing-masing bermula 14 hingga 25 Disember ini.

Pada SUKMA 2018 yang lalu, kontinjen SUKMA Terengganu yang berjaya merealisasikan misi ‘Win Back Mission’ menerima insentif berjumlah RM995,000 daripada kerajaan negeri.

Kontinjen Terengganu berjaya meraih 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa sekali gus mengulangi pencapaian sebagai juara keseluruhan setelah kali terakhir melakukannya di SUKMA 2012 di Pahang.

Kejayaan Terengganu menjadi juara diiringi dengan kejayaan ‘Ratu Pecut’ Terengganu, Azreen yang telah dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik SUKMA 2018 dan Aisyah yang memenangi tujuh pingat emas acara berbasikal jalan raya dan trek.

Tag: