• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu, UMT Jalin Kerjasama Perkasa Industri Pertanian

Dr Azman (dua dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani MOU antara TADC dan UMT.
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini bagi membangunkan industri pertanian dan akuakultur di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerjasama melalui anak syarikat kerajaan negeri itu merupakan langkah permulaan kepada detik penting dalam gerak kerja untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluar makanan.

Katanya, persefahaman tersebut meliputi perkongsian pintar dan beberapa bidang lain yang telah dikenal pasti berpotensi untuk dimajukan bersama institusi pengajian itu.

“UMT memiliki kepakaran dalam kajian, TADC pula mempunyai aset-aset dan projek-projek yang boleh dijadikan bahan kajian, sekali gus memberikan manfaat kepada semua yang terlibat.

“Projek-projek seperti Melon Manis Terengganu (MMT), penyelidikan dalam sektor bekalan makanan ternakan berasaskan napier juga menjadi fokus kita, di samping Projek Rimbunan Kaseh (akuakultur) terus diperkasakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani MOU terbabit, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dr Azman percaya Terengganu mampu menjadi negeri pengeluar makanan utama di Malaysia.
Hadir sama, Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT, Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid dan Pengurus Besar TADC, Azhar @ Wahab Jusoh.

Menurut Dr Azman yang juga Pengerusi TADC, melalui kerjasama itu pihaknya juga bercadang untuk meneroka peluang-peluang baharu yang mampu menjana ekonomi rakyat.

“Kita juga sedang merangka untuk menceburi bidang ternakan ketam di kawasan Setiu Wetland dan ternakan ayam di Besut,” tambah beliau.

Sementara itu, Mohd Effendy berkata, kemahiran UMT dalam sektor perikanan dan sains akuatik akan dimanfaatkan sebaik mungkin agar para petani serta nelayan tidak menghadapi banyak masalah.

“UMT juga sedang berusaha untuk memperkayakan sumber-sumber berasaskan marin, contohnya kita telah melepaskan benih-benih udang di perairan Setiu, dan MoU ini adalah pertama kita buat sebagai tanda keseriusan kita,” jelasnya.

Mohd Effendy (paling kiri).




Tag: