• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Tingkatkan Keupayaan Pelupusan Bahan Buangan PKRC

KUALA TERENGGANU, 1 September - Terengganu berusaha untuk meningkatkan keupayaan pihak kontraktor bagi melupuskan bahan buangan yang berada dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Chendering mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sampah itu adalah daripada pesakit Covid-19 yang positif justeru ia tidak sewenang-wenangnya boleh diurus semua pihak dan ia telah dipertanggungjawab di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. 

"PKRC ini menempatkan pesakit yang positif kategori satu dan dua yang tidak bergenjala atau bergejala ringan.

"Sebab itu, sampah itu tidak boleh dilupuskan seperti sampah biasa, pihak PBT tidak boleh mengangkut sampah tersebut kerana dibimbangi masih mempunyai virus pada bahan buangan tersebut.

"Bahan buangan ini dikategorikan sebagai 'chemical waste' atau bahan buangan terjadual yang berkaitan hospital, pesakit dan sebagainya," ujarnya baru-baru ini.

Jelas Dr. Alias, bahan buangan itu mestilah dibuang dengan cara yang khusus, tugas ini telah diserahkan kepada pihak kontraktor.

"PBT tidak boleh menguruskan sampah ini kerana tidak mempunyai kepakaran dan peralatan yang khusus untuk mengangkut sampah tersebut ke pusat pelupusan sampah.

"Perkara ini sangat bahaya sekiranya dibuang begitu sahaja kerana dibimbangi akan menyebabkan penyebaran virus ini. 

"Tapak pelupusan bahan buangan ini mestilah dibuang di tempat khusus yang terletak di Lembah Klang," katanya.

Tambah Dr. Alias, tempat pelupusan di Lembah Klang juga telah penuh, inilah yang menyebabkan timbunan bahan terjadual ini lambat diangkut.

"Kerajaan dalam proses untuk meningkatkan keupayaan pihak kontraktor ini untuk melupuskan bahan buangan tersebut mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP)," ujarnya

Sebelum ini tular gambar timbunan bahan buangan terbabit dan dijadikan isu oleh pihak tertentu yang dikatakan kutipan sampah tidak diurus dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan.


Tag: