KUALA TERENGGANU, 9 November – Terengganu Water Sport Festival berpotensi diperluas ke peringkat antarabangsa tahun hadapan sekali gus menjadi antara produk pelancongan sukan yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, festival yang menampilkan acara seperti perlumbaan jet ski dan perahu naga itu mempunyai keunikan tersendiri serta berpotensi diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, penganjuran festival berkenaan perlu diperkasakan menerusi promosi lebih meluas dan penyertaan peserta luar negara bagi meningkatkan daya tarikannya dalam kalangan pengunjung tempatan serta antarabangsa.
"Acara ini bukan sahaja menawarkan pengalaman sukan air yang mengujakan, malah berpotensi menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa.
"Insya-Allah, dengan promosi lebih meluas dan penyertaan peserta luar negara, Terengganu Water Sport Festival mampu menjadi satu lagi tarikan pelancongan ikonik negeri," katanya.

Razali berkata, sebagai satu-satunya festival sukan air anjuran Taman Tamadun Islam (TTI), program berkenaan wajar terus diperkembangkan supaya mampu menjadi acara tahunan berprestij.
Katanya, penganjuran festival seumpama itu bukan sahaja dapat memeriahkan industri pelancongan, malah membuka ruang untuk mengetengahkan Terengganu sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara sukan air.
"Terengganu bukan sahaja kaya dengan keindahan alam dan warisan budaya, malah mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi sukan air bertaraf antarabangsa," katanya.