• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Terengganu Yakin Capai  Lima Juta Pelawat Melebihi Sasaran Awal


DUNGUN, 23 September - Terengganu yakin akan mencapai sasaran lima juta pelawat domestik pada akhir tahun ini melebihi sasaran awal iaitu 4.5 juta pelancong. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata ia berdasarkan jumlah sedia ada menunjukkan sasaran tahun ini berada di landasan tepat dan pihaknya percaya angka itu dapat dicapai sehingga penghujung tahun ini.

“Kami dapati berlaku peningkatan sekali ganda setiap bulan.Sebagai contoh di Taman Tamadun Islam, pada bulan Jun hanya 34,000 pengunjung seterusnya  meningkat kepada 50,000 orang dan  mencecah 94,000 pengunjung pada bulan Ogos.

“Ini merupakan trend yang berlaku di semua pusat pelancongan sebab itulah kita menjangkakan untuk dapat lima juta ini tidak mustahil dan munasabah walaupun pada asasnya kita cuma sasar 4.5 juta pelancong yang datang.

“Disamping itu, Industri pelancongan domestik Terengganu turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatatkan kadar purata penginapan kedua tertinggi di Malasia selepas Pahang pada Julai 2020 sebanyak 65 peratus yang dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia, dan apabila melihat angka ini, memang sesuatu yang luar biasa dan tidak mustahil untuk berjaya dalam sasaran kita,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Hulu Dungun, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, jumlah pelancong yang direkod hanya di sebahagian tempat yang berdaftar sahaja dan ia tidak termasuk penginapan seperti homestay, resort-resort, rumah persendirian yang tidak berdaftar.

“Jumlah pelancong keseluruhan, yang kita ‘rate’ hanya sebahagian tempat sahaja, sebagai contoh di Sekayu , di tempat pedalaman ini, kita tak tahu jumlah sebenarnya. tapi kita akan rekodkan hujung tahun ini , insyaAllah kita menjangka  akan mencapai angka yang kita cadangkan ataupun yang kita sasar,” ujarnya.

Menurut Ariffin, antara  faktor sambutan hangat ini adalah tarikan terhadap kecantikan pulau-pulau di Terengganu selain mempunyai jajaran pantai sepanjang 244 kilometer yang indah.

“Pulau-pulau seperti Redang, Perhentian dan Kapas mencatatkan purata penginapan sebanyak 40 hingga 50 peratus pada hari bekerja manakala 70 hingga 80 peratus pada hari minggu.

“Sehingga kini, terdapat 373 hotel, resort dan chalet di Terengganu dengan 12,000 bilik yang berdaftar dan daripada jumlah itu, 65 buah terdiri daripada hotel, resort dan chalet di pulau dengan lebih 1,300 bilik,”tambah beliau.

Justeru itu katanya, Kerajaan negeri dengan kerjasama dan bantuan dari Tourism Malaysia Wilayah Timur, Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Negeri Terengganu, agensi-agensi di Peringkat Kementerian dan Negeri serta NGO Pelancongan dan pemain industri pelancongan akan meneruskan promosi bagi Merancakkan Pelancongan Domestik dan menjadikan Terengganu sebagai pilihan destinasi utama untuk melancong.