Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
Terengganu-Melaka Bina Integrasi Pacu Kemajuan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 3 November- Terengganu memiliki kekuatan tersendiri dalam bidang pelancongan yang boleh diperkasakan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke negeri itu.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Sa'ari Basiron menyatakan, kekuatan tarikan pelancongan Terengganu tidak lain tidak bukan adalah pulau-pulaunya seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas, di samping sejarah, budaya dan warisan yang ada.
"Terengganu dengan kekuatan produk pelancongannya, kita lihat Melaka dengan sejarah, warisan dan budayanya.
"Kalau ke Terengganu, kita akan tengok keunikan batiknya, kedua makanannya siapa tidak kenal keropok losong, ketiga pulau-pulaunya. Kalau kita boleh sepadukan antara kedua-duanya, ia akan jadi satu pakej yang sangat menarik.
"Kita di negeri-negeri tidak boleh bersaing kerana kita ada kekuatan masing-masing dan perlu saling melengkapi antara satu sama lain. Semasa pandemik dahulu kita pernah mengadakan satu program 'travel bubble' antara Melaka dan Terengganu di mana kita menawarkan satu pakej yang amat menariklah bagi saya kepada masyarakat Terengganu, untuk datang dengan harga serendah RM188," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas pertemuan dengan delegasi pelancongan negeri Terengganu di Seri Negeri, Melaka, hujung minggu lalu.
Kehadiran delegasi yang diketuai Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman itu turut disertai Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Mazshida Rusial dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mokhtaruddin Dahiri.
Sa'ari turut menyifatkan, pertemuan itu mampu membina perkembangan lebih pesat dalam bidang pelancongan antara kedua-dua negeri.
"Saya melihat ini satu permulaan yang baik di mana kita amat mengalu-alukan delegasi negeri Terengganu ke Melaka khususnya untuk menjalin kerjasama dalam bidang pelacongan.
"Saya rasa ini peluang untuk menjalinkan kerjasama dan pada hari ini saya llihat banyak pandangan yang boleh dipertimbangkan demi kemajuan kedua-dua negeri ini.
"Benda ini kita boleh perluaskan lagi bagi kita jalinkan kerjasama bagaimana untuk meningkatkan pelancong ke Terengganu dan Melaka melalui pakej-pakej yang dipanggil integrasi. Mungkin kita boleh buatkan satu pakej melibatkan perjalanan darat, dan baru-baru ini Melaka telah didatangi syarikat penerbangan Singapura iaitu Scoot Airline, mungkin juga penerbangan boleh dijadikan salah satu pakej merapatkan hubungan kedua negeri," ujarnya.
Hasrat berkenaan disambut baik Ahmad Ridzwan untuk mengadakan kolaborasi dan kerjasama bagi memantapkan lagi sektor pelancongan negeri Terengganu.
"Melaka ini, kita tengok terutamanya dari tinggalan penjajah terdahulu telah dijadikan satu tarikan pelancongan. Untuk terengganu, kita juga ada produk-produk sebegini iaitu peninggalan sejarah dari pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Tok Ku Paloh, perjalanan Mat Kilau yang pernah datang ke Terengganu jadi, kita boleh melihat tempat-tempat ini untuk dijadikan produk pelancongan yang akan menjadi tarikan pelancong.
"Tahun ini Melaka mengisytiharkan Tahun Melawat Melaka 2024 dan kita datang ke sini untuk melihat usaha-usaha yang dibuat, kita nampak ada beberapa perkara yang boleh dibuat di negeri Terengganu seperti aktiviti 'Bila Larut Malam'.
"Kita ingin lihat langkah yang dibuat negeri Melaka sehingga berjaya, mempelajari gerak kerja yang dilakukan yang dapat menarik ramai pelancong.
"Kita mengambil peluang memperkemaskan produk dengan menambah beberapa pakej supaya ia dapat menarik pelancong dari luar juga. Melaka banyak persamaan dengan Terengganu dan kita melihat ia sebagai satu kelebihan dalam persediaan kita untuk mengadakan Tahun Melawat Terengganu pada 2027 nanti," katanya.