• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Terima Kasih APMM Terengganu'

BESUT, 14 Oktober - Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim mewakili kerajaan negeri, melahirkan penghargaan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu atas pelaksanaan program menenggelamkan bot Vietnam sebagai tukun tiruan di perairan negeri itu.


“Tahniah dan syabas atas usaha berterusan APMM mengawal kedaulatan perairan kita dan hasil laut kita daripada pencerobohan nelayan asing. Kerajaan negeri sangat berterima kasih atas usaha berterusan agensi.

“Di samping penguatkuasaan mengatasi pencerobohan, terima kasih juga atas program memperkayakan sumber perikanan sebagaimana yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program menenggelamkan sembilan buah bot Vietnam lucut hak di Pulau Susu Dara bersama APMM Terengganu dan Kelantan, semalam.


Jelasnya, usaha itu sedikit sebanyak dapat menampung kehilangan hasil marin yang dicuri akibat pencerobohan nelayan asing. 

“Ini adalah satu lagi tambahan kepada lokasi yang akan dimanfaatkan oleh nelayan secara bersama, setakat maklumat yang saya dapat berkenaan bot-bot yang telah ditenggelamkan, memang hasil perikanan di kawasan tersebut bernilai puluhan ribu ringgit,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memaklumkan, tukun tersebut dinamakan sebagai Tukun Segantang sebagai penghargaan kepada Kapal Maritim (KM) Segantang yang telah dilucutkan hak kepada Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), baru-baru ini.


“Bot-bot Vietnam lucut hak ini merupakan hasil rampasan bagi tahun 2018 dan 2019 serta menjadi antara hasil tangkapan KM Segantang.

“Sepanjang perkhidmatan KM Segantang dari 2015 hingga 2020, sebanyak 80 buah bot nelayan asing terutama Vietnam telah ditangkap oleh KM itu dan ini sebagai satu penghormatan kepadanya,” katanya.

Tambahnya, Tukun Segantang di Pulau Susu Dara yang terletak di sempadan Kelantan dan Terengganu akan menggalakkan aktiviti nelayan kelas A dan pembiakan biodiversiti marin di kawasan berkenaan.

“Sebelum ini, kita tidak pernah buat di daerah Besut. Ini yang pertama kali hasil kerjasama  Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) di lokasi  9.4 kilometer dari pantai Besut dengan kedalaman perairan sedalam 26 meter,” katanya.


 


Tag: