• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Bersih Lumpur Tebal Cabaran Khidmat Malaysia

KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Banjir kali ini disifatkan sebagai yang terburuk melanda negara, lebih 1,500 anggota Sukarelawan Khidmat Masyarakat Terengganu menganggap operasi pembersihan lumpur tebal antara cabaran terbesar.

Pengerusinya, Hanafiah Mat walau bagaimanapun berkata, pihak tetap komited membantu mangsa terjejas bagi mengurangkan beban yang menimpa.

Katanya bermula Khamis lepas, Khidmat Malaysia telah bergerak mengkoordinasi dan menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas di kawasan Kuantan, Temerloh, Paya Besar dan Mentakab.

"Alhamdulillah, kami dapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak dan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Cuma, perasaan saya memang sangat tersentuh dan simpati sebaik sampai di lokasi banjir terbabit apabila melihatkan keadaan dialami penduduk yang majoriti kehilangan harta benda," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Hanafiah berkata, rumah, kedai, barang peribadi serta perabot musnah di kebanyakan kawasan ditenggelami air dan terpaksa dibersihkan kerana diselaputi lumpur, malah ada juga yang musnah.

Tambahnya lagi, dengan semangat ikatan ukhuwah yang terjalin seperti dituntut Islam, mereka juga telah membantu mangsa banjir di sana tanpa mengira agama dan bangsa.

"Dengan tenaga yang ada, pihak sukarelawan kami turut membantu membersihkan kedai-kedai bukan muslim sebagai tanda keprihatinan bersama meringankan beban yang ditanggung.

"Ia menunjukkan kesepaduan rakyat Malaysia yang sentiasa bersama dalam waktu susah dan senang, inilah nilai perpaduan yang kita inginkan," ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota sukarelawan yang sehingga kini masih bekerja keras tanpa henti.

"Sepanjang misi bantuan banjir di Pahang, saya melihat mereka gigih membantu membersihkan rumah tanpa mengira masa hingga ada yang terlena kepenatan di tepi timbunan lumpur.

"Bayangkan, mereka tidak dibayar pun, hanya dibekalkan makanan dan minuman asas saja, itu pun diberikan sukarelawan di lokasi," katanya.