• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Terima Kasih MBKT, Bertindak Segera Bersih Sungai Hiliran

Longkang besar kini bersih dari sampah sarap  selepas aduan diterima.

KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta berterusan memantau kebersihan longkang sekitar Pasar Baru Chabang Tiga di sini, bukan hanya bertindak bila aduan dibuat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, bagaimanapun pihak terbabit harus dipuji kerana segera bertindak selepas beliau mengemukakannya dalam mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Kuala Terengganu baru-baru ini.

"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil langkah segera memperbaiki keadaan Sungai Hiliran (juga dikenali longkang besar) di mana terletaknya Pasar Chabang Tiga yang baru.

"Baru hari Isnin lepas perkara ini saya bangkitkan di Mesyuarat Tindakan Daerah Kuala Terengganu dan segera diambil tindakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)," jelasnya.

Beliau katanya, telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Terengganu supaya mengambil perjalanan membersihkan sungai tersebut.
Haji Amzad (tengah) ketika melawat seorang pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau difahamkan untuk tujuan itu kerajaan telah menyediakan peruntukan khas di bawah program 'Cintai Sungai Kita'.

"Jadi saya harap pihak berkenaan memberi fokus sewajarnya untuk kelestarian sungai tersebut kerana ia menjadi tumpuan orang ramai," katanya.

Menyentuh soal kebersihan longkang tersebut beliau berkata, longkang besar itu, menjadi satu isu yang dibicarakan sejak dahulu lagi.

"Kebimbangan kita tentang masalah timbunan sampah sarap telah terbukti berlaku sekarang ini.

"Apabila sampah terlalu banyak dibuang, sampah berkenaan terkumpul dan terperangkap di bawah bangunan pasar sepanjang kira-kira 150 meter itu dan tidak ada siapa yang boleh tengok," katanya ketika dihubungi.

Haji Amzad berkata, apabila sekali sekala berlaku air pasang besar, sampah yang terperangkap itu keluar dari bawah bangunan tersebut.

"Jadi bila sampah itu keluar, nampaklah bermacam-macam jenis sampah dibuang orang ramai dalam sungai termasuk tilam buruk dan seumpamanya.

"Pihak PBT perlu mengambil langkah menghalang sampah berkenaan dari terperangkap di bawah bangunan tersebut dengan mewujudkan perangkap sampah," jelasnya.

Beliau menambah, selain isu penguatkuasaan undang-undang pembuangan sampah di dalam sungai berkenaan, ia juga  berkait  rapat dengan isu kebersihan makanan.

"Sebab, bila terlalu banyak sampah, persekitaran pasar itu menjadi sangat kotor dan sampah itu pula terperangkap di bawah bangunan pasar.

"Jadi kita khuatir timbul masalah suatu hari nanti, ia akan memberi kesan kepada perniagaan makanan di pasar berkenaan," jelasnya lagi.

Beliau turut mencadangkan supaya bahan penjernih air, Dolomite digunakan di kawasan tersebut.

"Kalau boleh diteroka penggunaan seperti Dolomite, sejenis bahan kimia (tak silap saya) untuk penjernihan air sungai, mungkin ia juga perlu diberi perhatian selain dari peralatan mekanikal bagi tujuan tersebut," jelasnya lagi.


Tag: