• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

“Terima kasih Primula Beach Hotel"

 

KUALA NERUS, 21 Disember – “Memang saya terharu dan  tidak menyangka Pengurus Besar Primula Beach Hotel bersama-sama anak buahnya datang untuk membaiki atap yang rosak akibat ribut baru-baru ini,” ujar Ahmad Ameram Abdullah, 53 yang merupakan salah seorang kakitangan hotel berkenaan.

Bapa kepada tiga orang anak ini yang telah berkhidmat di hotel berkenaan sejak tahun 1991,  kelihatan teruja dengan kedatangan pihak majikannya berkata dia cuma dimaklumkan bahawa ada pihak hotel akan datang membantunya membaiki atap yang rosak.

“Bila tengok Puan Suaibah sendiri yang datang, sebagai pekerja memang rasa terharu dengan kecaknaan yang ditunjukkan oleh beliau.

“Terima kasih yang tidak terhingga sebab membantu saya dan keluarga dalam keadaan diri yang masih tidak dapat bekerja buat sementara waktu ini…hanya Tuhan yang dapat membalasnya,”ujarnya yang turut patah tangannya antara siku dan bahu ketika cuba menukarkan atap berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata, pihaknya memperuntukan RM1,000 bagi kerja baik pulih bumbung kediaman pekerjanya yang terjejas susulan hujan lebat baru-baru ini. 

“Peruntukan itu adalah bagi  menukar sebahagian atap yang sudah pecah dan bocor termasuk membeli kayu dan peralatan lain.

“Saya  amat berbesar hati dapat melaksanakan inisiatif mulia ini dengan kerjasama kakitangan-kakitangan lain serta dapat mempamerkan keprihatinan, kasih sayang dan komitmen dalam menangani pelbagai isu yang selaras demi keluarga besar hotel kami,”jelasnya.

Suaibah berkata demikian ketika ditemui selepas melawat rumah Ahmad Ameram di Taman Permint Perdana, Seberang Takir dekat sini, hari ini.

Tambah beliau, program itu adalah antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mana masyarakat mahupun kerajaan akan mengiktiraf usaha tersebut dalam memantapkan dan mengukuhkan lagi sesebuah organisasi melalui pandangan masyarakat yang merupakan pelanggan dan pekerja  sebagai pihak berkepentingan paling utama.