Terima Kasih Semua Pihak Bantu Mangsa Banjir

DUNGUN, 25 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pemindahan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam kawasan tersebut sejak malam semalam.

Menurut beliau, Rantau Abang sekali lagi diuji dengan bencana banjir bagi gelombang ketiga yang bermula Sabtu lalu.

"Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam membantu mangsa banjir untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.

“Kerjasama dari semua lapisan masyarakat yang turun membantu mangsa banjir ini sangat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih," ujarnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat tinjauan di PPS Burung Baru di sini, semalam.

Menurut beliau, setakat semalam sebanyak 14 buah PPS telah dibuka. 

"Sudah ramai yang sudah berpindah ke PPS yang mana rumah mereka sudah dimasuki air berikut hujan yang tidak berhenti bermula pagi semalam” ujarnya.

Katanya, kalau dilihat keadaan sungai semalam, air masih lagi bertahan tetapi dibimbangi ianya semakin naik berikutan mengikut trend air di sebelah Hulu Dungun mengalir turun ke kawasan-kawasan tersebut .

“Apa yang cukup membimbangkan apabila hujan masih berterusan dan air semakin naik tetapi masih ada segelintir penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir enggan berpindah ke PPS, " ujarnya. 


Tag: