• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terima Kasih Warga Pendidik - MB

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengucapkan Selamat Hari Guru dan berterima kasih kepada semua warga pendidik di Negeri Terengganu sempena sambutan Hari Guru, hari ini.

Ahmad Razif berkata, kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar-pelajar anak Terenganu terus meluncur laju dalam setiap peringkat dan kategori pencapaian.

"Seawal sekolah rendah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi pelajar kita telah memahat sejarah kehebatan tersendiri. Bukan lagi setanding malah mengatasi pesaing lain.

"Kini Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu menjadi sebutan sebagai sebuah negeri yang melahirkan ramai jaguh sukan bukan sekadar diperingkat kebangsaan malah telah menjejak podium penghargaan peringkat antarabangsa.

"Nampaknya Negeri Terengganu menjadi penyumbang kepada usaha pengantarabangsaan pendidik mewakili negara.

"Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga pendidik Negeri Terengganu. Andalah pemain-pemain utama belakang tabir yang ternama, walaupun tidak selalu didendangkan," katanya yang dipetik daripada perutusan beliau bersempena Hari Guru, hari ini.

Menurutnya, pihak kerajaan, kita tidak ada masalah untuk meneruskan suntikan bantuan melalui Program Terengganu Negeri Anjung Ilmu berdasarkan kemampuan.

"Demi kecemerlangan pendidikan anak-anak pelajar Terengganu kita pastikan kecaknaan pihak kerajaan terhadap sektor ini tidak terjejas dan terbatas.

"Saya dan barisan kepemimpinan mengucapkan terima kasih kepada anda semua warga pendidik diatas komitmen tinggi dan pengorbanan besar kepada pencapaian yang luar biasa di setiap bidang.

"Kita sentiasa menghormati kerjaya mulia ini yang tidak terbalas dengan apa jua yang ada. Hanya doa kami agar Allah membahagiakan dan melimpahi rahmat kehidupan anda bersama keluarga tercinta.

"Apa yang penting ialah kesungguhan dan keinginan kita merancang masa depan anak bangsa tidak terhenti di sini. Teruskanlah membela anak bangsa.

"Saya dan barisan kepimpinan negeri Terengganu mengucapkan SELAMAT HARI GURU Untuk Semua Warga Pendidik," katanya.

Tag: