• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

‘Terkejut’ Program Pelancaran Jersi Ada Pengisian Agama

KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Rata-rata peminat pasukan Terengganu Football Club (TFC) ‘terkejut’ dan teruja apabila Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Barisan Pemain TFC 2022 pada kali ini berbeza daripada kebiasaan apabila menampilkan beberapa slot keagamaan.

Penyokong tegar TFC, Abu Ammar Shafiq, 31, berkata, sepanjang menjadi penyokong skuad penyu ini adalah kali pertama program pengenalan pemain diselitkan dengan pengisian rohani.

“Ini satu pembaharuan yang sangat baik, program sukan diadunkan dengan aktiviti agama, kata orang selain bertemu pemain diminati, kita juga boleh sama-sama menambah ilmu.

“Apatah lagi, ilmuan yang ditampilkan bukan tokoh biasa-biasa, sebaliknya seorang yang boleh mencuit hati pendengar dengan penjelasan dan celotehnya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu, bagi Mohammad Mirza Danial Mohd Sudzli, 25, inisiatif pihak kerajaan negeri dan penganjur wajar dipuji kerana berani mengetengahkan idea segar.

“Semua sedia maklum bahawa masyarakat di Terengganu suka dan cintakan program ilmu, apabila ada forum seumpama itu, pasti lebih ramai masyarakat hadir ke karnival terbabit.

“Jadi, karnival kali ini pasti menghimpunkan semua golongan, bukan hanya peminat suka bola sepak, sekali gus ia membangkitkan semangat para pemain untuk menggapai satu piala sekurang-kurangnya,” kata Mirza Danial. 

Solehah Zakaria, 27, turut sependapat dengan Mirza Danial, ujarnya, forum Ustaz Haslin Baharin atau lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Bollywood’ dan Ustazah Asma Harun pasti akan menarik golongan berusia untuk turut memeriahkan karnival.

“Sebelum ini, jika sebut program berbentuk sukan, sudah tentu hanya orang muda yang datang, namun kali ini ada pengisian agama, pasti ibu bapa akan turut hadir,” kata penyokong setia TFC itu.

Karnival ‘Terengganu Football Club Black And White Day’ (TFCBWD)  yang bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Februari ini diisi dengan forum keagamaan bersama Ustaz Haslin’ pada hari pertama.

Difahamkan, pemain kegemaran peminat TFC, Mohd Faisal Halim atau Mickey turut terlibat dalam forum ‘Berdakwah Melalui Sukan Bola Sepak’ berkenaan sebagai panel bersama pelawak tanah air yang sudah tidak asing lagi, Saiful Apek.

Selain, satu lagi program yang mencuri tumpuan ialah Bicara Santai bersama Ustazah Asma harun pada hari kedua karnival.


Tag: