• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Terus Didik Pelancong Dengan Etika Berpakaian

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Kerajaan Negeri akan terus mendidik pelancong bukan Islam dan Islam mengenai etika berpakaian bersesuaian agar tidak timbul kecelaruan dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya juga bercadang untuk menjelaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemakaian antara dua kategori pelancong itu.

Katanya, pelancong bukan Islam tidak perlu bimbang kerana Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan hanya dikuatkuasakan kepada individu muslim.

“Pelancong bukan Islam akan diberi penerangan agar tidak berpakaian melampau sehingga boleh menimbulkan keghairahan.

“Sejak pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022, terutama membabitkan Seksyen 34, iaitu perbuatan atau berpakaian tidak sopan di tempat awam dikuatkuasakan, tiada pelancong bukan Islam dikenakan tindakan dan hukuman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina, di sini, kelmarin. Mengulas lanjut, bagi pelancong muslim pula, individu yang berpakaian mendedahkan mana-mana bahagian tubuh sehingga menimbulkan keghairahan di tempat awam akan diberikan didikan terlebih dahulu sebelum dikenakan tindakan.

"Kaedah mendidik oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) membuktikan semua pelancong termasuk bukan muslim menerima baik penjelasan diberikan," tegasnya.


Tag: