• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Terus Pantau Dan Bantu Mangsa Banjir Walau PPS Telah Ditutup

DUNGUN, 31 Disember- Khidmat Malaysia Kawasan Dungun memberi jaminan akan terus memantau keadaan mangsa banjir yang telah pulang ke kediaman masing-masing setelah dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terakhir daerah ini ditutup secara rasminya pukul 9 pagi tadi.

Pengerusinya, Khairul Ismail berkata, ianya bagi memastikan setiap perkembangan (mangsa banjir) selepas penutupan PPS diuruskan dengan cekap dan berkesan.

“Kita akan berhubung dengan mereka melalui aplikasi WhatsApp Khidmat Kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Kepada penduduk yang masih memerlukan bantuan termasuk untuk membersihkan rumah dan sebagainya atau mempunyai sebarang aduan boleh terus menghubungi kita untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa melalui saluran komunikasi yang sedia ada.

"Diharapkan masyarakat setempat dapat kembali kepada kehidupan normal dengan bantuan yang diberikan dan sokongan padu daripada pelbagai pihak," katanya ketika dihubungi pemberita.

.Mengulas lanjut katanya, dua PPS di Dungun iaitu dewan Masjid Serdang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pati ditutup secara rasmi jam 9 pagi tadi dan seramai 112 mangsa daripada 33 keluarga yang berlindung di dua PPS berkenaan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"Alhamdulillah kita tengok keadaan cuaca yang semakin baik serta penurunan trend paras air sungai turut memberikan kemudahan kepada penduduk yang terjejas," katanya.


Tag: