lightning-solid
Berita :
Tetap Berniaga Walaupun Kedai Dinaiki Air
Tetap Berniaga Walaupun Kedai Dinaiki Air
Mastura Jamal Din
18 Nov 20
1330

 

HULU TERENGGANU, 18 November -Walaupun musim banjir menjadi satu musibah buat penduduk yang terlibat, namun ia tetap terselit kisah yang memberi inspirasi.

Ketika paras air banjir mencecah 0.3 meter, ia tidak menjadi halangan Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 45, tetap berniaga di kedai runcitnya sekaligus menguruskan warung kopi di Kampung Nibong, Telemong.

Kata ibu kepada sembilan anak ini, perniagaan perlu diteruskan kerana penduduk perlu mendapatkan keperluan di kedainya di samping untuk mencari rezeki buat mereka sekeluarga.

"Setakat ini, saya masih meneruskan operasi kedua-duanya kerana keadaan masih selamat untuk berniaga.

"Selagi keadaan selamat dan stok bahan mentah mencukupi, saya akan terus berniaga. Kebetulan pula, stok barang runcit sudah dibeli dari awal,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Katanya, kedai yang diusahakannya masih dibuka memandangkan paras air masih paras lutut dan akan menutup kedai sekiranya paras air meningkat sehingga membahayakan keselamatan.

Engku Hasmah juga berkata, tiada masalah untuknya menyediakan makanan walaupun premisnya dibanjiri air kerana ruangan memasak berada pada tempat tinggi.

"Lagipun saya hanya menyediakan air minuman kerana kuih-muih yang ada dihantar oleh penduduk kampung untuk dijual.

“Apapun, saya tetap mementingkan aspek kebersihan. Lagipun, ia hanya ‘air lalu’ yang dibawa arus deras (banjir), bukannya air bertakung seperti di sesetengah kawasan.

“Ini agak agak menyeronokkan juga, malah menawarkan pengalaman unik kerana dapat menikmati hidangan dalam persekitaran banjir. Ada yang tidak melepas peluang merakam gambar dan video kenangan,” katanya.

 

 


Artikel Berkaitan