• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

TFC Cemerlang Jinakkan Perak 2-0

IPOH, 15 Mac - Terengganu FC (TFC) meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menundukkan Perak FC di Stadium Perak, di sini, sebentar tadi.

Penyerang muda, Mohamad Faisal Abdul Halim membuktikan penyudahnya semakin berbisa apabila meletakkan skuad kendalian Nafuzi Zain di depan pada minit ke-23 dengan menyudahkan hantaran Makan Konate.

Perlawanan babak pertama menyaksikan skuad Penyu mendominasi permainan dengan tiga asakan garang dalam tempoh 10 minit perlawanan menerusi serangan ke kubu tuan rumah yang diselamatkan penjaga gawang, Muhammad Hafizul Hakim.

Pemain Perak FC kendalian Chong Yee Fatt terpaksa berkampung di kubu sendiri bagi menyerap asakan pemain pelawat menerusi penyerang mereka yang diketuai Jordan Mintah.

Sepakan Jordan Mintah dihalang Shakir Hamzah.

Peluang terbaik Perak FC hanya hadir bermula minit ke-14 menerusi percubaan Muhammad Rafiuddin Roddin.

Namun ia dibalas semula pasukan lawan melalui percubaan jarak jauh Muhammad Azalinullah Mohammed Alias pada minit ke-18.

Percubaan itu kemudian dibalas pasukan tuan rumah melalui tandukan pemain tengah, Leandro Dos Santos Oliveira tapi diselamatkan penjaga gawang skuad Penyu, Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Seperti perlawanan sebelumnya, gerakan menyerang Perak FC lebih menyerlah memasuki separuh masa kedua namun penyudahnya masih tumpul bagi mencari gol penyamaan.

Kurang lima minit sebelum perlawanan berakhir, skuad Bos Gaurus hampir menyamakan kedudukan melalui penyerangnya, Guilherme De Paula Lucrecio.

Agak mengejutkan apabila tiga minit masa tambahan babak kedua yang diberikan pengadil dimanfaatkan TFC apabila jaringan kedua berjaya dihasilkan menerusi Dechi Marcel N'Guessan untuk keputusan muktamad 2-0. - BH Online.

Gol berkelas dunia Marcel di hujung permainan melenyapkan impian Perak untuk sekurang-kurangnya berkongsi satu mata.

 


Tag: