KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi berakhir dengan keputusan seri 1 - 1.
TFC terlebih dahulu memecahkan kebuntuan perlawanan seawal minit ke-15 apabila penyerang import dari Belanda, Gervane Zjandric Adonnis Kastaneer yang memakai jersi nombor 9, meledak gol pembukaan perlawanan.

KL City cuba bangkit menerusi beberapa percubaan berbahaya, namun usaha mereka dinafikan ketangkasan penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim.
Separuh masa pertama tamat dengan kelebihan 1 - 0 memihak TFC, meskipun tambahan masa selama dua minit menyaksikan asakan bertali arus KL City yang gagal menghasilkan jaringan penyamaan.

Kedua-dua pasukan turut melakukan beberapa pertukaran pemain bagi menyegarkan kembali permainan.
Perlawanan terus rancak dengan asakan bertenaga antara dua pasukan itu dan pada minit ke-77, KL City hampir menyamakan kedudukan dalam satu peluang keemasan menerusi sepakan penjuru namun, hantaran tersebut gagal menemui sasaran.

Kebuntuan KL City akhirnya terlerai pada minit ke-84 apabila pasukan di bawah kendalian Risto Vidakovic itu berjaya menyamakan kedudukan 1 - 1 melalui pemain Nicalao Manuel Dumitru Cardoso.
Sorakan daripada lebih 5500 penonton bergema apabila TFC meledak jaringan gol kedua menerusi pemain nombor 77, Mohammad Ubaidullah Shamsudin, sejurus masa tambahan bermula dengan harapan mata tersebut menjadi penentu kemenangan buat pasukan Sang Penyu.
Walau bagaimanapun, jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil melalui semakan video bantuan pengadil (VAR) menyebabkan keputusan memihak kepada KL City.
Keputusan kekal 1 - 1 sehingga tamat masa tambahan, menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata menjelang perlawanan timbal balik yang bakal menjadi penentuan muktamad pada 13 Februari ini.