• 07 Dis 2021 | 2 Jamadil Awal 1443

TFC Rangka Strategi Kembalikan Kegemilangan Pasukan

KUALA NERUS, 31 Oktober - Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sudah merangka beberapa strategi bagi mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri dan menjana pendapatan kukuh untuk kelab.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Ab Rasid Jusoh berkata menjadi hasrat utama pihak pengurusan untuk meletakkan TFC sebagai pasukan nombor satu di persada bola sepak negara, sekali gus mengulangi semula kejayaan Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001.

Justeru bagi mencapai objektif berkenaan, fokus juga akan diberi kepada aspek pengukuhan pemain dan barisan kejurulatihan supaya mereka menjadi aset bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan kepada pasukan.

"Untuk tahun ini di bawah pengurusan baharu TFC Sdn Bhd, kita tetapkan misi 'Win Back Mission' bagi menjadikan TFC pasukan nombor satu negara dan pengurusan (pasukan) terbaik di rantau ini.

"Kita ada beberapa perancangan..antaranya menjadikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai tempat himpunan anak muda dengan pelbagai penganjuran acara yang boleh menjana pendapatan kepada kelab," katanya ketika ditemui pada program Jalinan Kasih Legenda Bola Sepak Terengganu bersama CEO TFC Sdn Bhd, di sini hari ini.

Lebih 70 bekas pemain bola sepak Terengganu dari era 70-an hingga 90-an menghadiri program yang bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim dan berkongsi pandangan serta pengalaman dalam arena bola sepak. - BERNAMA


Tag: