KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Terengganu Football Club (TFC) menyangkal dakwaan berkenaan kegagalan kelab tersebut membayar gaji hampir sembilan bulan kepada penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut, yang tular di beberapa media sosial pada Ahad.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan TFC semalam, kelab gergasi pantai timur itu mendakwa isu berkenaan tidak diperolehi dari sumber yang tepat.
"Pihak TFC sentiasa menjaga kebajikan dan sentiasa memberi peluang kepada semua pemain untuk berbincang mendapatkan jalan yang terbaik demi kesejahteraan dan kebaikan pasukan.
"Jika ada sebarang perkara yang tidak dijelaskan sama ada gaji dan hal-hal lain, saluran yang betul boleh digunakan sebagaimana termaktub di dalam perjanjian kontrak yang telah dipersetujui serta menunjukkan sikap profesional.
"Pihak TFC berharap agar isu ini tidak dimainkan serta digembar gemburkan yang akhirnya memberi tanggapan negatif kepada peminat serta Liga Malaysia secara amnya.
"Pihak TFC tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada laman sosial mahupun pihak yang mengeluarkan serta menyebarkan (berita) itu," jelas kenyataan itu.
Kenyataan dikeluarkan TFC itu bagaimanapun tidak menjawab secara jelas tentang isu tunggakan gaji yang berlaku dan penyelesaiannya.
Melalui pemakluman TFC yang disertakan, Ivan Mamut telah menandangani kontrak lanjutan musim 2024/2025 pada Disember 2023.
Namun, kecederaan serius Achilles Tendon sekitar Mac 2024 menyebabkan beliau tidak dapat bermain. Atas kehendaknya dan persetujuan dari TFC, Mamut melakukan rehabilitasi di negaranya iaitu Croatia dengan alasan ia lebih baik. Bagaimanapun, pihak perubatan TFC mendapati kecederaan yang dialami tidak ada perubahan setelah beliau kembali ke pasukan pada Mei 2024.
Beliau sekali lagi memohon kepada pihak TFC untuk pulang dan ingin melakukan pembedahan serta pemulihan disana pada Julai 2024 dan ketika melapor diri kepada TFC p[ada Januari 2025, beliau didapati tidak cergas sepenuhnya yang menyaksikan penyerang tersebut tidak mampu menyumbang apa-apa minit kepada perlawanan rasmi Liga Malaysia pada musim 2024/2025.