• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

TFCPLAY, Penanda Aras Baharu Kelab Bola Sepak

KUALA NERUS, 15 Januari - Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) muncul kelab bola sepak pertama di Malaysia memiliki platform penstriman perkhidmatan (service streaming) sendiri apabila melancarkan TFCPLAY, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Abd Rasid Jusoh memaklumkan, TFCPLAY menyediakan sesuatu yang berbeza buat para peminat dan penyokong pasukan Terengganu FC untuk menyaksikan gergasi pantai timur itu secara lebih dekat dan eksklusif.

"Kita mahu mendekatkan peminat-peminat kepada pasukan, memberi kemudahan kepada ahli untuk mendapatkan sesuatu secara lebih eksklusif dari TFCSB.

"Saya yakin dan percaya, dengan gerak kerja dibuat oleh pasukan kita bahawa kandungan yang dimuat naik dalam TFCPLAY amat menarik.

"Contohnya kita ada filem yang tidak pernah disiarkan di mana-mana dan sesuai dengan kehendak peminat serta dokmentasi pasukan yang menarik perhatian penyokong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan TFCPLAY di pejabat TFCSB, hari ini.

Tambahnya, TFCPLAY juga menawarkan harga yang kompetitif iaitu RM7 bagi langganan sebulan dan RM60 untuk langganan setahun.

"Harga yang murah dengan kandungan lebih besar dan menarik akan bermula dari persediaan pasukan sewaktu pra-musim 2023 ini," katanya.

 

 

 


Tag: