• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 28 Februari – Setelah sebulan Kempen Terengganu Hijab Day (THD) 2021 berlangsung, hari ini merupakan hari terakhir perjalanan kempen tersebut bagi tahun ini.

THD merupakan acara tahunan yang dianjurkan bermula 2019 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, mewakili Kerajaan Negeri Terengganu di samping melibatkan kolaborasi Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita dalam Negeri Terengganu.

Menurut ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, tahun ini adalah tahun ketiga penganjuran meskipun dalam norma baharu berbanding kempen-kempen tahun sebelumnya, ianya masih berlangsung dengan meriah.

“Program Terengganu Hijab Day tahun 2021 bertemakan ‘Sempurnakan Auratmu’ berlangsung selama satu bulan bermula 1 Feb 2021 sempena sambutan World Hijab Day.

“Program ini adalah anjuran ADUN Wanita Terengganu dengan kerjasama NISA’ Terengganu (Pertubuhan Kasih Nur Insani Terengganu), HANEES Terengganu (Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu) dan SETIA Terengganu (Persatuan Kebajikan Sedia Setia Terengganu)," katanya.

Zuraida berkata demikian pada majlis penutup Terengganu Hijab Day 2021 yang diadakan secara atas talian, baru-baru ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam dalam menjayakan sambutan bulan tersebut.

“Kita mahu mendidik masyarakat, mengikis streotaip bahawa bertudung dengan mengikut syariat (labuh sehingga menutup dada) bukan semata-mata untuk mereka yang bergelar ustazah sahaja tetapi wajib bagi semua muslimat.

“Kita juga mahu mempamerkan imej Islam di negeri Terengganu sekaligus menjadi benteng kepada penularan budaya kuning barat. Hal ini penting bagi mencapai misi Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera," ujarnya.