• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

THP-YT Kini Rasmi Milik Anak Syarikat TDM Berhad

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – THP-YT Plantation Sdn Bhd dari TH Plantation Berhad ('THP') kini telah menjadi salah satu anak syarikat di bawah TDM Berhad pada 1 Ogos 2020 secara rasmi.

Pengerusi TDM Berhad, YM Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin berkata dibawah Pelan Pembangunan Perniagaan kami ("BDP"), Kumpulan sentiasa mencari aset yang telah dibangunkan dan mempunyai potensi untuk mencapai pendapatan akretif dalam kedua-dua sektor perladangan dan juga kesihatan.

“Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan Kumpulan untuk meningkatkan profil umur purata dan mengurangkan turun naik dalam hasil pendapatan. 

“TDM meletakkan kedudukan secara strategik untuk terus berdaya saing dalam keadaan pasaran yang sangat mencabar,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau lagi, TDM Berhad juga telah mengambil alih pengurusan dan tadbir urus operasi ladang Bukit Bidong seluas 2,594.50 ha yang  terletak berhampiran dengan kilang minyak sawit TDM Sungai Tong.

“Pengambilalihan ini akan meningkatkan jumlah kawasan tanaman TDM di Terengganu dari 31,346 hektar kepada 33,653 hektar. Di samping itu, profil usia antara dua hingga sembilan tahun akan meningkatkan profil umur purata tanaman keseluruhan TDM secara positif. 

“Ini turut merupakan sebahagian daripada rancangan untuk perluasan perladangan dan meningkatkan keluasan tanaman di Terengganu.Oleh itu, pengambilalihan ini dijangka berupaya mengoptimumkan kapasiti dan kecekapan pemprosesan BTS, dan selanjutnya menurunkan kos pemprosesan di kilang minyak sawit TDM.

"TDM yakin bahawa nilai strategik yang bakal diperolehi daripada pemerolehan ini akan di diiterjemahkan ke dalam kecekapan operasi untuk meningkatkan keuntungan dalam jangka masa panjang," kata YM Raja Dato 'Haji Idris.

Untuk rekod, anak syarikat milik penuh TDM Berhad iaitu TDM Plantation Sdn Bhd telah ditauliahkan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada 2013 sebagai syarikat perladangan pertama di Terengganu yang melangkaui amalan piawaian dan diberikan 100 peratus pensijilan RSPO.