BESUT, 9 Ogos - Lebih 20,800 rakyat Terengganu berjaya mendapatkan pekerjaan melalui inisiatif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC) yang diwujudkan kerajaan negeri pada penggal lalu.
Calon PAS bagi kerusi DUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang diamanahkan menerajui agensi berkenaan sebelum ini berkata, T-HRDC menjadi medium antara pencari kerja dan nelayan yang sangat berjaya.
"Data itu (20,800 penerima) adalah data sahih di dalam MYFutureJob, satu sistem yang dikendalikan PERKESO dan dikongsikan bersama selepas kita mengadakan perjanjian persefahaman dengan kerajaan negeri melalui T-HRDC.
"Tenaga kerja Terengganu sangat berdaya saing dan kebanyakannya mempunyai kelayakan yang tinggi.
"Namun, tidak timbul isu kerja tidak menepati kelayakan sebagaimana dakwaan sesetengah pihak, kerana majikan sudah pasti mengambil orang yang layak dengan peluang ditawarkan.
"Ini kerana, mereka ada penilaian untung rugi syarikat," katanya.
Tambahnya, sebahagian 'job hunter' yang diterima oleh majikan-majikan sebelum ini turut mendapat peluang kenaikan pangkat sekalipun mereka bermula pada peringkat bawah.
"Contohnya, Panasonic Appliances Air-conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY), antara syarikat terawal yang bekerjasama dengan T-HRDC.
"Mereka ambil operator pada awalnya, tetapi mereka sangat menggunakan pakai kenaikan dalaman dan ramai tenaga kerja yang kita hantar berjaya dinaikkan ke kedudukan yang sesuai dengan kelayakan mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, Nurkhuzaini menyifatkan, kritikan berkenaan tenaga kerja yang dihantar keluar berbanding bekerja di dalam negeri mempunyai asas yang longgar.
Mengakui peluang yang agak terhad bagi menampung semua tenaga kerja dalam negeri, beliau menyeru semua pihak menggunakan satu sifir yang betul dalam menilai perkara itu.
Menurutnya, penghantaran tenaga kerja secara proaktif tanpa menanti peluang yang hanya ada dalam Terengganu, sebenarnya turut menyumbang peningkatan aliran tunai ke dalam negeri.
"Apabila kita hantar 400 orang ke Shah Alam dan 380 pekerja ke Senai, kita telah ada 780 tenaga kerja.
"Mereka diberi tempat tinggal, pengangkutan disediakan dan gaji mereka hanya untuk belanja dan makan.
"Kalau 780 orang ini menghantar sebahagian gaji mereka ke kampung setiap bulan, bayangkan pengaliran duit masuk ke dalam negeri boleh bernilai puluhan dan ratusan ribu.
"Ia realistik dalam meningkatkan taraf hidup keluarga di kampung sekaligus memberi suntikan kepada ekonomi setempat," jelasnya.