• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 12 Mac- Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengekalkan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 setelah melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas seteru utama, pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan terakhir MHL di Stadium Hoki Batu Buruk, semalam.

Skuad kendalian Seo Jongho bangkit dari ketinggalan dua kali sebelum menamatkan tentangan TNB dengan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Perlawanan bermula sengit sebaik siren dibunyikan dengan kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar penguasaan bola.

Pada minit terakhir sebelum separuh masa pertama ditamatkan, pemain kebangsaan, Muhammad Azrai Aizad melakukan 'reverse flick' melepasi kawalan Muhammad Hafizuddin Othman untuk TNB mendahului 1-0 pada babak pertama.

Memasuki babak kedua, THT cuba menggandakan asakan dengan sokongan padu penyokong tuan rumah.

Pada minit ke-35, Abdul Khaliq Hamirin melakukan pukulan deras dalam situasi kelam-kabut dalam dihadapan gawang lawan bagi mengikat pelawat dengan 1-1.

Tuan rumah cuba bangkit, namun TNB kembali mengancam kedudukan THT di tahta liga apabila Muhammad Aminuddin Mohd Zain meledak gol kedua untuk pelawat kembali di depan.

THT kembali menyamakan kedudukan setelah Jang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-47.

Pada suku terakhir, The Turtles terpaksa menahan serangan bertali-arus TNB sebelum Jang menjaringkan gol kemenangan THT menerusi pukulan sudut penalti pada minit terakhir perlawanan.

THT melakar rekod tanpa kalah musim ini apabila mencatatkan 13 kemenangan dan satu seri dengan kutipan 40 mata sepanjang liga berlangsung.

Pasukan gergasi pantai timur itu kini mengintai kejuaraan ketiga setelah merangkul Piala Sumbangsih dan Piala Liga MHL tahun ini.

 

 


Tag: