• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

THT Tidak Rela Dikecewakan Buat Kali Kedua

Ahmad Razif bersama pasukan THT. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
Kapten Pasukan Hoki Terengganu (THT), Fitri Saari tidak rela pasukannya dikecewakan buat kali kedua ditangan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) apabila turun membuat perhitungan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Burok, petang ini.

Tonggak tengah kebangsaan itu bertekad turun dengan misi membalas dendam kekalahan 3-4 ditangan KLHC menerusi pukulan penalti selepas terikat 3-3 dalam masa permainan sebenar pada final Piala Tan Sri P Alagendra, Ahad lalu.

"Kami bukan saja tewas ditangan KLHC, tapi turut kehilangan piala yang dimenangi musim lalu. Jadi, misi kami mahu menebus kekecewaan yang kami alami, Ahad lalu dengan menjulang Piala Sumbangsih petang ini.

"Hanya Piala Sumbangsih masih belum kami kecapi dan berharap ia menjadi milik THT musim ini," katanya yang ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Pemain THT dan Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) yang bermain dalam Liga Hoki Malaysia TNB/MHL 2018, malam tadi.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Turut hadir  Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Pemain tengah berusia 24 tahun itu berkata, kekalahan tempoh hari memberi pengajaran berguna buat pasukan dan tidak mahu perkara sama berulang dalam perlawanan petang ini.

"Sepatutnya kami mengekalkan kelebihan dua gol yang diperolehi, namun kerana keghairahan memburu jaringan ia memakan diri sendiri.

"Jadi, saya dan rakan sepasukan akan turun dengan semangat juang tinggi bagi memastikan misi membalas dendam kami terbalas bagi mengubat kedukaan," katanya.

Tag: