• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Tiada Alasan Konkrit Usir Dr Zakir Naik - MB Terengganu

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri (tengah) menjawab provokasi terhadap Dr Zakir Naik di Sidang Media di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Semua pihak perlu berlaku adil kepada Pendakwah Antarabangsa Dr Zakir Naik sekali gus harus objektif dalam memberi tekanan terhadap beliau.

Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihak yang memberi tekanan terhadap Dr Zakir perlu melihat ucapan beliau dalam konteks yang sebenar, tidak hanya sekadar menceduk bahagian-bahagian tertentu dalam ucapan beliau.

"Pada saya pihak-pihak yang memberikan tekanan kepada Dr Zakir Naik, mereka juga harus objektif dalam cara mereka memberikan tekanan supaya berlaku adil kepada beliau.

"Umpamanya melihat ucapan Dr Zakir Naik dalam konteks yang sebenar di mana beliau bercakap, apa persoalannya, jika Dr Zakir Naik memberi pandangan-pandangan tertentu, apa asas soalan (pandangan) itu.

"Jadi itu harus diambil kira, barulah pertimbangan yang adil dan jujur dapat dilakukan. Kalau main ceduk sini sikit, situ sikit, saya rasa macam-macam perkara boleh berlaku  dalam masyarakat kita, kalau sekadar ceduk menceduk kiri dan kanan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Buku Menteri Besar Terengganu 'Melunas Sumpah, Menunai Janji', di  Lobi Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini semalam.

Turut hadir Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Bentara Dalam A Rahman Yahya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Tengku Seri Bijaya Raja, Tengku Farouk Hussin.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, setakat ini Terengganu tidak berdepan dengan sebarang kekecohan perpaduan dalam masyarakat berkait dengan isu berkenaan.

"Kalau saya nak rujuk tentang negeri Terengganu, al-Hamdulillah kita tidak berdepan dengan sebarang kekecohan perpaduan di dalam masyarakat kita berkait dengan isu berkenaan.

"Tetapi kalau saya boleh memberi komen umum, pada saya masyarakat dalam negara Malaysia seharusnya mula memahami erti hidup dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan kadang kala kita perlu saling faham memahami antara kelompok masyarakat," jelasnya.

Dalam masa yang sama kata beliau keperluan untuk mengemukakan pandangan yang disertakan dengan hujah itu seharusnya menjadi budaya dalam masyarakat Malaysia dalam apa jua isu sekalipun.

"Tinggal lagi semua perkara itu hendaklah dilakukan dengan mengambil kira suasana semasa. Kalau berlaku salah faham dari segi politik, hubungan kaum dan sebagainya, maka pendekatan yang sesuai dengan keadaan masyarakat seharusnya diambil," ujarnya.

Bagaimanapun kata Dr Ahmad Samsuri dengan mengambil kira suasana semasa, Kerajaan Negeri tidak ada keperluan untuk menimbulkan suasana baru untuk membawa Dr Zakir Naik ke Terengganu.

"Setakat ini tidak ada dalam perancangan dan tidak ada apa-apa usaha untuk membuat program sedemikian membabitkan Dr Zakir Naik di Terengganu.

"Atas isu kekecohan sehari dua ini pun tidak ada dalam jadual untuk berbuat demikian. Jadi tidak timbul isu Kerajaan Negeri melanggar arahan sesiapa sebab tidak ada apa-apa perancangan lagilah (untuk berbuat demikian)," jelas beliau lagi.

Katanya, jika ada permohonan tertentu, ia harus dirujuk kepada pihak berkuasa.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri amat menghormati pandangan yang diberikan oleh Ketua Polis Negeri, Datuk Aidi Ismail yang tentunya mendapat pandangan daripada ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (Bukit Aman, Kuala Lumpur).

"Jadi kita juga memerhati apa yang berlaku. Suasana di Terengganu ini agak berbeza dibandingkan negeri-negeri lain dan apa yang berlaku di peringkat nasional.

"Tetapi kita (Kerajaan Negeri) tetap mengambil pendirian bahawa kita tetap menghormati pandangan daripada pihak berkuasa kerana mungkin aspek tertentu kita tidak ada maklumat tetapi mereka ada maklumat," jelasnya.

Justeru Dr Ahmad Samsuri menegaskan tidak timbul bahawa Kerajaan Negeri berhasrat berbuat demikian walaupun ada halangan.

"Kita oleh kerana ada halangan tertentu kita nak buat juga, tidak. Jadi 'we are very sivilist people' (kita adalah rakyat yang mengutamakan soal kepentingan awam) dan Kerajaan Negeri akur dengan arahan tersebut.

"Jadi kita biar siasatan berjalan dan saya difahamkan siasatan itu sedang berjalan, biar proses itu mengambil jalannya, banyak perkara-perkara lain yang boleh kita laksanakan pada waktu ini," ujarnya lagi.


Tag: