• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tiada Institusi Pondok, Sekolah Agama Di Terengganu Gulung Tikar

KUALA NERUS, 12 September – Tiada institusi pondok persendirian atau sekolah agama rakyat di Terengganu terpaksa menutup operasi akibat kekangan dana sebagaimana yang dilaporkan berlaku di negeri-negeri lain baru-baru ini susulan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat berkata, tidak timbul isu gulung tikar dalam 142 institusi berdaftar sehingga kini akibat terputus sumber kewangan.

“Kerajaan negeri baru-baru ini telah mengagihkan dana melalui Skim Al-Ghazali dengan memberi insentif secara bulanan kepada guru-guru sekolah agama swasta dan seumpamanya.

“Kita telah memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta daripada awal Januari sehingga Disember sebanyak RM900 seorang guru,” katanya baru-baru ini.

Tambahnya, bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjumlah RM1.14 juta dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memastikan institusi pendidikan agama dapat terus beroperasi.

Sementara itu, menyentuh usaha pemvaksinan bagi pelajar dan guru pondok dan tahfiz, Satiful menjelaskan, nama-nama terlibat sudah berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JAPINT) dan telah diarahkan supaya menerima suntikan.

“Kita beri keutamaan kepada mereka kerana golongan pendidikan ini juga dapat dilihat sebagai barisan hadapan, ada juga dikalangan pelajar pondok berusia 17 tahun keatas,” katanya lagi.