• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tiada Kegiatan Sorok Barang Kawalan

KUALA TERENGGANU, 1 Julai – Hasil pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu (KPDNHEP) mendapati tiada peniaga dikesan melakukan kegiatan sorok barang kawalan atau mengambil keuntungan secara tidak munasabah sepanjang pelaksanaan OPS Ayam Telur Minyak masak (ATM) Fasa pertama.

KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah melaksanakan sebanyak 276 pemeriksaan melibatkan 17 perniagaan di peringkat pemborong dan 259 peruncit.

“Pemeriksaan di bawah fasa ini bertujuan memastikan keberadaan bekalan adalah stabil dan tiada isu kegiatan sorok barang kawalan di pasaran.

“Terbaharu, OPS ATM fasa kedua telah bermula pada hari ini sehingga 31 Julai 2022 melibatkan barang kawalan ayam, telur ayam dan minyak masak. 

“Pemeriksaan Ini adalah kesinambungan OPS ATM susulan daripada pengapungan harga minyak masak tulen bagi pek kemasan botol dan penetapan harga kawalan siling terbaru bagi ayam dan telur ayam," ujar KPDNHEP.

Tegas KPDNHEP, pihaknya akan mengeluarkan notis di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti pencatutan 2011 kepada mana-mana peniaga yang didapati menjual ayam, telur ayam dan minyak masak dengan harga yang tidak munasabah dan terlalu tinggi.

“KPDNHEP ingin memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi semasa dengan menjadikan alasan menaikkan harga. “Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 dan bagi individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.

Jelasnya, orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran talian hotline KPDNHEP di 1800-886-800, talian Whatsapp di 010-279 4317, media sosial Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu atau melapor ke mana-mana pejabat KPDNHEP dalam negeri.


Tag: