• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

'Tiada Kes Buang Sampah Berjaya Dikesan' - MBKT


Haji Shahidan.
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Setakat ini tiada mana-mana individu yang dikenakan tindakan kerana kesalahan membuang sampah di tempat awam di negeri Terengganu.

Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Haji Shahidan Embok berkata, tiada sebarang kes pembuangan sampah berjaya dikesan selepas tempoh penguatkuasaan bermula kelmarin.

Katanya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah menugaskan seramai 106 orang kakitangan penguatkuasa dan tiga orang pegawai di unit pendakwaan bagi memastikan orang ramai mematuhi undang-undang larangan membuang sampah di tempat awam.

Ketika dihubungi, beliau berkata, pihak MBKT tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang berkenaan.

"MBKT telah dilengkapkan dengan anggota penguatkuasa yang telah diberi penurunan kuasa secara khusus bagi penerimaan tawaran kompaun sampah secara serta merta dan unit pendakwaan sentiasa bersiap sedia melaksanakan tindakan pendakwaan ke atas kesalahan membuang sampah di tempat awam.

"Kelmarin, notis larangan membuang sampah di tempat tidak sepatutnya telah ditampal di tempat awam termasuk di Taman Awam Batu Buruk dan Hentian Bas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu," ujarnya.

Notis itu meminta orang ramai membuang sampah di tempat atau tong sampah yang telah disediakan.

Perbuatan membuang sampah merata-rata adalah bersalahan dengan peruntukan Perenggan 47(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 (Akta 133); atau Undang-Undang Kecil 13, Undang-Undang Kecil (Kebersihan Awam) MBKT, 1981.

Tawaran kompaun berjumlah RM50 secara serta merta akan dikeluarkan oleh anggota penguatkuasa MBKT kepada mana-mana orang yang melakukan kesalahan tersebut.

Sekiranya, pesalah laku enggan menjelaskan tawaran kompaun itu, mereka boleh didenda sehingga RM500 bagi kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 (Akta 133) atauRM250 bagi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (Kebersihan Awam) MBKT, 1981.

Ketika ditanya, Shahidan berkata, mereka berkenaan boleh ditangkap di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 (Akta 133) tanpa memerlukan waran tangkap.

"Tangkapan tanpa waran adalah tangkapan yang dibuat tanpa perlu mendapatkan atau memiliki waran tangkap terlebih dahulu.

"Dengan kata lain, mana-mana anggota penguatkuasa berpuas hati bahawa berlaku kesalahan membuang sampah di tempat awam, beliau boleh terus membuat tangkapan terhadap pesalah laku tanpa memerlukan waran tangkapan," tegasnya.

Bagaimanapun katanya, bagi pelaksanaan awal tindakan ini, pesalah laku hanya akan ditawarkan penyelesaian kompaun terlebih dahulu.

"Dan dalam keadaan yang memerlukan contohnya, pesalah laku enggan bekerjasama atau melarikan diri dan sebagainya, maka tindakan tangkapan akan dibuat dalam menguatkuasakan tindakan ini," tegas beliau lagi.


Tag: