• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Tiada Kompromi, 72 Kesalahan Hutan Kena Tindakan

KUALA TERENGGANU, 17 Februari – Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pencerobohan dan pencurian sumber hutan, ujar Timbalan Pengarah JPNT, Azni Rahman A Wahid.

Kata Azni Rahman, sepanjang tahun lepas, pihaknya telah mengesan 72 kes kesalahan hutan dengan 66 kertas siasatan dibuka membabitkan kompaun lebih RM619 ribu.

Jelasnya, penguatkuasaan secara konsisten menemui banyak kesalahan seperti transit membawa hasil hutan tanpa kebenaran, penerokaan hutan dan penebangan balak tanpa lesen.

“Hasil kompaun sebanyak RM619,666 tersebut melibatkan nilai duit daripada ganti rugi dan kompaun dikenakan, beberapa kenderaan digunakan bagi kegiatan haram tersebut turut dirampas dan dilucutkan hak kepada kerajaan negeri.

“Pada tahun 2022, kita telah mengesan dua kes melibatkan tangkapan tiga lelaki warga Kemboja dijatuhi hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Sesyen kerana menceroboh kawasan Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu bulan lalu," ujar beliau kepada UPDI semalam.

Menurut Azni Rahman, mahkamah turut mengarahkan semua peralatan kerja dan kayu gaharu yang disita dilucut hak kepada Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu.

“Satu lagi kes adalah di daerah Besut dengan kes masih dalam siasatan, ini memberi isyarat jelas bahawa Jabatan Perhutanan tiada kompromi dengan sebarang bentuk pencerobohan dan pencurian sumber hutan negeri,” katanya.

Menyentuh tentang berita dikeluarkan media tempatan berkaitan kes pembalakan haram di Hutan Simpan Rasau Kertih, beliau menjelaskan bahawa kawasan tersebut telah dilesenkan pada tahun 2018 dengan status tanah dikaveat (disekat) akibat isu dalaman.

“Lesen tersebut dihentikan buat sementara disebabkan kes makhamah antara pelesen dan pihak kontraktor, jika urusan tersebut selesai maka lesen akan dikembalikan jika mendapat kelulusan kerajaan negeri.

“Kesan kayu balak yang dilihat di dalam segmen penyiaran itu adalah kayu kayan ditinggalkan kontraktor dan kini dalam status kawasan kaveat.

“Namun begitu, pihak kami bersama Pejabat Daerah dan Tanah Dungun telah membuat lawatan serta merta bagi memastikan masalah penerokaan dan maklumat diperincikan untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri,” katanya lagi.

Tambah Azni Rahman, pihaknya mengalu-alukan sebarang aduan jika berlakunya sebarang kes kesalahan hutan untuk tindakan selanjutnya di samping pemantauan dari semasa ke semasa yang dijalankan.