• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tiada Kompromi Kes Tipu Timbang Sawit

HULU TERENGGANU, 1 Mei - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang terbabit dalam penipuan timbangan buah sawit sehingga menindas pengusaha terutama pekebun kecil dalam menikmati bayaran sepatutnya. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak terbabit termasuk membatalkan lesen sekiranya didapati melakukan penganiayaan terhadap pengusaha sawit di seluruh negara. 

"Tindakan segera dalam menangani isu telah diambil dengan melaksanakan Ops Manipulasi Timbang Sawit.

"Sejak 16 Mac, pemeriksaan terhadap 49 lokasi pusat timbangan sawit di seluruh negara telah pun dijalankan secara bersepadu bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Cyber Security Malaysia.

"Sehingga kini, 27 kes atas pelbagai kesalahan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM147,500 telah dikesan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Iftar Ramadhan Peringkat DUN Ajil dan Majlis Penyerahan Van Jenazah  Sumbangan SSM kepada Masjid Kampung(kg) Bukit Diman dan kg Gaung, semalam.

Menurutnya, sejumlah 12 kes direkodkan di bawah tindakan KPDNHEP mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala 15 kes lagi di bawah tindakan MPOB.

"Antara kesalahan dikesan dilakukan premis timbangan buah kelapa sawit adalah alat timbang tidak ditentusahkan sehingga menyebabkan bacaan timbangan tidak tepat, alat timbangan diganggu dengan wayar, tali atau apa-apa objek pada alat timbang menyebabkan timbangan tidak tepat,"ujarnya lagi.

Sementara itu, dua buah van jenazah yang lengkap dengan peralatan bernilai RM140,000 telah disumbangkan oleh SSM kepada Masjid kg Bukit Diman dan kg Gaung untuk kegunaan orang ramai.


Tag: