• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Tiada Lagi Amaran, Terus Kompaun' - Polis Terengganu

KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Kompaun terus akan diberikan kepada mana-mana pihak atau individu yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, tempoh nasihat atau amaran telah berakhir pada tahun lalu.

“Pada PKP 2.0 yang berkuatkuasa sejak Januari lalu, sejumlah 373 kompaun dikeluarkan, satu kompaun adalah RM1,000, PKP ini benda lama tapi masih ada yang berdegil dan pandang ringan terhadap SOP yang dikuatkuasakan.

“Oleh itu, saya mengingatkan seluruh masyarakat supaya lebih berhati-hati kerana kita tidak akan lagi beri amaran terakhir.

“Jika didapati melanggar peraturan, maka kompaun akan terus dikenakan. Arahan telah dikeluarkan kepada penguatkuasa bawahan untuk bertindak sekiranya berlaku demikian kerana peningkatan kes di Terengganu amat membimbangkan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.

Beliau juga berpendapat, tempoh nasihat dan amaran telah berakhir tahun lepas dan masyarakat perlu memandang serius dalam mematuhi SOP sebagai senjata paling berkesan.

“Sebagai contoh, kita lihat tempat tumpuan awam dimana SOP yang dipatuh adalah topeng pelitup muka, tetapi aspek penjarakan fizikal tidak diamalkan.

“Kita bersentuhan juga akan menyebabkan kemungkinan jangkitan, perkara ini perlu difahami masyarakat, bukan pakai ‘face mask’ sahaja, tapi kerapkan basuh dan cuci tangan serta amalkan penjarakan sosial.

“Jangan angkuh ingat mereka kebal, perlu diingatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguatkuasa lain terpaksa berperang dengan musuh halimunan ini,” tambah beliau.