• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tiada Lagi Zon Hijau Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Terengganu kini  menghampiri zon merah sepenuhnya ekoran peningkatan mendadak jumlah kes positif Covid-19 di seluruh negeri sejak seminggu lalu.

Berdasarkan infografik terkini Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), tiada lagi zon hijau di negeri ini selepas lima daripada lapan daerah sudah dikategorikan sebagai zon merah.

Daerah terbabit ialah Kuala Terengganu, Dungun, Besut, Setiu dan Kuala Nerus sementara Hulu Terengganu serta Marang kini menjadi zon jingga manakala Kemaman pula sudah bertukar sebagai zon kuning.

"Sebelum ini, Hulu Terengganu memperolehi status zon hijau dan menjadi satu-satunya daerah yang berada dalam zon itu di Semenanjung Malaysia dan Terengganu khasnya.

"Pertambahan kes baharu sejak beberapa hari ini menunjukkan peningkatan mendadak sekaligus menjadikan tiada lagi zon hijau di Terengganu," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKNT di laman facebook rasminya hari ini.

Menurut kenyataan itu juga, JKNT telah merekodkan pertambahan 74 kes sembuh dan 131 kes baru Covid-19 menjadikan terdapat 563 kes Covid-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1355 kes.

562 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa. Satu (1) kes menerima rawatan di ICU HSNZ dan diberikan alat bantuan pernafasan.

Untuk rekod, sehingga 23 Januari 2021, Terengganu mencatatkan 57 zon aktif melibatkan 50 Zon Kuning iaitu Daerah Kemaman  di mukim Telok Kalong (2 kes), Chukai (3 kes), Kerteh (13 kes), Kemasek (1 kes).

Sementara itu, bagi daerah Dungun ia melibatkan mukim Kuala Dungun (3 kes), Abang (8 kes), Paka (7 kes), Hulu Paka (1 kes).

Manakala Daerah Kuala Terengganu di mukim Bandar (17 kes), Bukit Besar (13 kes), Batu Buruk (1 kes), Kubang Parit (1 kes), Kuala Ibai (9 kes), Chendering (7 kes), Chabang Tiga (5 kes), Pengadang Buloh (2 kes) Gelugor Kedai (8 kes), Kepong (2 kes), Atas Tol (1 kes), Rengas (1 kes), Losong (1 kes).

Selain itu, Daerah Besut di mukim Bukit Kenak (5 kes), Pelagat (11 kes), Kg. Raja (2 kes), Lubuk Kawah (7 kes), Keluang (2 kes), Jabi (18 kes), Kubang Bemban (3 kes), Bukit Puteri (2 kes), Pengkalan Nangka (1 kes), Tembila (7 kes), Pasir Akar (1 kes), Tenang (1 kes); Daerah Kuala Nerus di mukim Mengabang Telipot (17 kes), Tepoh (10 kes), Wakaf Tembesu (14 kes), Bukit Tunggal (11 kes), Seberang Takir (14 kes), Wakaf Chagak (1 kes).

Di Daerah Marang di mukim Bukit Payong (12 kes), Rusila (14 kes), Jerong (4 kes), Pulau Kerengga (4 kes); Daerah Setiu – di mukim Hulu Setiu (7 kes), Tasek (4 kes), Guntong (4 kes), Hulu Nerus (3 kes) dan Daerah Hulu Terengganu  di mukim Tersat (19), Jenagor (1 kes), Tanggol (8 kes), Penghulu Diman (4 kes); 

Terengganu turut mencatatkan enam Zon Jingga iaitu mukim Rasau (32 kes), Jerangau (26 kes), Kerandang (26 kes), Chalok (28 kes), Sura (23 kes) & Manir (25 kes); dan satu Zon Merah iaitu mukim Serada (176 kes).

JKNT dalam kenyataan itu turut memohon agar orang ramai sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan diri dan keluarga daripada dijangkiti. 

"Untuk memastikan keadaan pandemik Covid-19 di Negeri Terengganu terkawal semua penduduk diingatkan supaya sentiasa mengamalkan Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat.

"Pematuhan kepada saranan-saranan ini akan dapat memutuskan rantaian jangkitan dan seterusnya menghalang perebakan Covid-19 dalam komuniti," ujarnya.


Tag: