• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tiada Masalah Bersih Kediaman Bukan Islam

KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Tiada sebarang masalah bagi orang Islam untuk membersihkan kediaman bukan Islam yang terlibat dengan banjir, demikian ujar Menteri Hal Ehwal Agama.

Idris Ahmad berkata, Islam tidak menghalang penganutnya menyampaikan apa jua bentuk bantuan dalam meringankan beban golongan ditimpa musibah bahkan ia sangat digalakkan.

Namun katanya, sebagai penganut muslim adalah penting untuk mengikuti panduan yang ditetapkan oleh ajaran Islam tanpa mempersoalkan kewajarannya.

"Ada perkara yang boleh dan tidak dibolehkan, iaitu tidak boleh membersihkan rumah peribadatan agama lain itu yang menjadi larangan dalam agama Islam.

"Kerana itu hendak membersihkan rumah serta kediaman mereka dibolehkan bagi membantu mereka yang dilanda musibah banjir dalam usaha meringankan beban mereka alami," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Haflah At-Takrim Huffaz Yayasan Kebajikan Dan Pembangunan Pendidikan Terengganu (YAKEP) Kali Ke-2, di Dewan Auditorium Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, di sini hari ini.

Mengulas mengenai  bantuan makanan daripada golongan penganut agama lain ketika menghadapi musibah, Idris berkata orang Islam dibolehkan menerimanya selagi tidak timbul sebarang keraguan.

"Asalkan kita tahu itu daripada sumber yang boleh dikatakan makanan halal mengikut perspektif Islam, tanpa mengambil kira sesiapa pun yang memberikannya," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang program yang diadakan YAKEP, beliau memuji usaha terbabit kerana ia berupaya memberi motivasi dalam melahirkan lebih ramai hafiz dan hafizah di masa hadapan 

"Juga menjadi mercu tanda kejayaan pelajar-pelajar Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT), Pusat Tahfiz Al-Itqan Darul Iman dan Markaz Tahfiz Orang Kelainan Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP) yang bernaung di bawah YAKEP," tambah beliau.

 

 

 

 


Tag: