• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Tiada Masalah Had Umur Kahwin Sedia Ada

Mohd Nor Hamzah.
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Kerajaan Terengganu bercadang mengekalkan peruntukan sedia ada yang terkandung dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Terengganu 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, peruntukan tersebut menyebut bahawa tiada sesuatu perkahwinan boleh diakad nikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

"Walaupun demikian, enakmen itu membenarkan remaja bawah umur untuk berkahwin, tetapi perlu mendapatkan kebenaran Hakim Syarie atau mahkamah.

"Dalam erti kata lain, peruntukan ini masih memberi ruang kepada lelaki atau perempuan bawah umur yang ingin berkahwin dengan syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

"Kita melihat ianya bersesuaian dengan suasana masyarakat yang ada.

"Umur 12 tahun sekalipun, jika dia sihat dan mencukupi syarat untuk berkahwin serta akan mendatangkan zina jika disekat hasratnya, sudah tentu perkara ini perlu diteliti dengan surat sokongan dari jabatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semalam di Wisma Darul Iman, mengulas tentang kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan mengarahkan semua kerajaan negeri di Malaysia untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun untuk orang Islam dan bukan Islam.

Dalam perkembangan yang sama, menurut Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, sebarang perubahan perlulah merujuk kepada Jabatan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa Terengganu.


Turut hadir dalam sidang media tersebut, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said dan Pengarah Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) negeri, Ustaz Kamaruzaman Abdullah.





Tag: