• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tiada Tolak Ansur Terhadap Penjawat Awam Terlibat Dadah

KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Kerajaan negeri menegaskan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana penjawat awam sekiranya didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana salah laku berkenaan akan mencemarkan nama baik kerajaan negeri serta menjejaskan pentadbiran.

Justeru penjawat awam diberi peringatan agar melaksanakan amanah yang diberikan sebaik-baiknya dengan tidak terbabit atau melakukan sesuatu perkara yang merugikan seluruh pihak.

"Ia juga akan turut memberikan tamparan yang hebat kepada seluruh pentadbiran kerajaaan, sebagaimana kita sedia maklum bahawa ancaman dadah pada hari ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur dan jenis pekerjaan semua orang berisiko untuk terbabit dengan gejala tidak sihat ini.

"Kerana itu saya memberi peringatan kepada seluruh anggota masyarakat kita supaya berhati-hati dengan perkara ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini,  hari ini. 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Ahmad Samsuri berkata, program tersebut melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi serta unit tubuh kerajaan bagi memberi mesej bahawa masalah penyalahgunaan dadah perlu ditangani bersama oleh semua pihak.

Untuk rekod, statistik penyalahgunaan dan penagih dadah serta substan di Terengganu telah menunjukkan penurunan sebanyak 3.7 peratus pada tahun 2021 iaitu seramai 12,033 berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 12,499 orang telah direkodkan,  ia masih berada pada tahap yang membimbangkan.