• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tidak Bertanggungjawab Punca Cerai

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Sikap tidak bertanggungjawab sama ada lelaki atau wanita terhadap pasangan dan anak masing-masing menjadi punca utama yang mengakibatkan penceraian di Terengganu.

Turut menjadi punca penceraian adalah lemah didikan agama, campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, masalah ekonomi, kerjaya, masalah kesihatan, masalah akhlak dan sosial serta masalah komunikasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, Terengganu merekodkan 13,157 kes penceraian membabitkan pasangan muslim dalam tempoh lima tahun bermula 2015 di samping 181 penceraian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini

Katanya, berdasarkan pecahan, sebanyak 2,682 pasangan dilaporkan bercerai pada 2015 diikuti 2,715 pasangan (2016), 2,758 (2017), 2,553 (2018) dan 2,449 pasangan (2019).

"Memang banyak faktor yang mengakibatkan penceraian ini namun punca utama isu adalah disebabkan pasangan tidak bertanggungjawab yang akhirnya membawa kepada masalah-masalah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ab Razak Ibrahim pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman hari ini.

Menurut Mohd Nor, kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam menangani isu penceraian dengan memberi tumpuan kepada tiga golongan sasaran iaitu pasangan yang belum berkahwin, pasangan sudah berkahwin dan pasangan yang mempunyai konflik dalam perkahwinan.

Katanya, kumpulan itu diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Antara program dilakukan adalah kursus pra perkahwinan, pra perkahwinan Islam, seminar kekeluargaan, kursus kepada pasangan yang berkahwin lebih lima tahun dan khidmat nasihat cara keluarga Islam bagi membantu masalah rumahtangga,” katanya sambil berkata sebanyak 2,409 pernikahan direkodkan Bahagian Undang-Undang keluarga bagi Pernikahan dan Penceraian dalam tempoh (PKP).

 


Tag: