• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tidak Boleh Guna Perkataan Kesat Dalam Sidang DUN

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos- Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali mengingatkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat agar menjaga tutur kata dan tidak boleh menggunakan bahasa yang kesat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Menurut Yahaya, mereka hendaklah mematuhi Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Terengganu (Standing Rulers and Orders) ketika Dewan bersidang. 

"Di antara perkara 46 (xiii) seseorang ahli di larang menyindir  tujuan - tujuan yang menyerong terhadap ahli-ahli lain, membuat tuduhan terhadap peribadi ahli yang lain.

"Menggunakan bahasa ataupun perkataan yang cemar atau mencela dan menimbul-nimbulkan peribadi-peribadi," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undanagn Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Menurutnya, beberapa perkara dalam buku Peraturan Dewan hendaklah dipatuhi agar ia boleh membina tertib perjalanan Dewan yang teratur.

"'Standing Orders' ini penting kerana ia boleh mengharmonikan dan memastikan perjalanan sidang DUN berjalan lancar dan licin.

"Sebab saya perhatikan ada masanya kadang-kadang kita tidak merujuk kepada 'Standing Orders'," ujarnya.

Yahaya menambah, perkara  48 dalam Peraturan Dewan apabila Yang Dipertua Dewan (YDP) berucap, mana-mana ahli yang sedang bercakap hendaklah dengan serta merta duduk.

"Perkara 47 (a) seseorang ahli boleh menggangu ahli lain untuk menerangkan apa-apa perkara yang dikeluarkan oleh ahli itu  dalam ucapannya dengan syarat  ahli yang sedang bercakap itu  mahu beralah dan duduk semula  dan ahli yang hendak menggangu itu dipanggil oleh YDP.

"Satu perkara lagi saya nak peringatkan untuk ingatan bersama dalam perkara 46, tatkala membuat ucapan di atas mana-mana  cadangan yang sedang  ditimbangkan  oleh dewan ataupun seluruh dewan, peraturan-peraturan yang tersebut di bawah ini hendaklah ditaati," tambah beliau.


Tag: