• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tidak Dibenarkan Jamuan Berbuka Puasa Di Masjid, Surau

KUALA TERENGGANU, 11 April - Jamuan berbuka puasa tidak dibenarkan diadakan di semua masjid dan surau sepanjang Ramadan yang dijangka Selasa ini.

Turut tidak dibenarkan adalah moreh dan juga jamuan makan sahur.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad memaklumkan, larangan majlis jamuan berbuka puasa, moreh dan makan sahur di semua masjid serta surau dilakukan bagi membantu kerajaan membendung penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, jelasnya, jemaah masih dibenarkan berbuka puasa, moreh serta makan sahur makanan berbungkus dan tidak membabitkan jumlah yang ramai.

"Garis panduan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti sepanjang bulan Ramadan termasuk majlis berbuka puasa sudah diedarkan kepada jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri.

"Jawatankuasa masjid dan surau diminta menyediakan kurma serta air mineral bagi membolehkan jemaah yang datang awal untuk menunaikan solat magrib berjemaah berbuka puasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mat Azmi, sebelum berlakunya penularan pandemik COVID-19, menjadi kebiasaan bagi umat Islam di negeri ini mengadakan majlis berbuka puasa membabitkan penduduk kampung.

"Mereka kebiasaannya akan mengadakan gotong royong menyediakan masakan untuk berbuka puasa," ujarnya.

Namun, program dan aktiviti itu dilarang diadakan berikutan berlakunya penularan pandemik COVID-19, di seluruh negara sejak Mac tahun lalu.

"Semua jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini diminta sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi membantu kerajaan membendung penularan COVID-19," tegasnya.


Tag: