• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Tiga Bayi Permata Maulidur Rasul Lahir Di Hospital Dungun

DUNGUN, 29 September - Tiga orang bayi dilahirkan di Hospital Dungun hari ini bersamaan tarikh kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. 12 Rabiulawal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin turut berkongsi kegembiraan menyambut kelahiran mereka sempena Program Permata Maulidur Rasul Peringkat Daerah Dungun.

Beliau mengambil kesempatan itu untuk menyampaikan sumbangan dan cenderahati istimewa kepada para ibu dan bayi-bayi ini.

Dalam ucapan ringkasnya, Tengku Muhammad Fakhruddin berharap, setiap bayi yang disantuninya itu akan membesar dengan sihat, berakhlak mulia dan mengikuti teladan Rasulullah S.A.W. 

Beliau juga menekankan pentingnya program Permata Maulidur Rasul ini sebagai bentuk kepedulian dan kasih sayang terhadap generasi muda, yang merupakan harapan untuk masa depan yang lebih cerah.

Katanya,  inisiatif ini tidak hanya memeriahkan perayaan Maulidur Rasul, tetapi juga mengingatkan kita semua tentang nilai kasih, kepedulian, dan perhatian yang selalu dianjurkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

"Program seperti ini adalah contoh nyata bagaimana kita semua dapat menyumbang dalam membentuk generasi mendatang yang lebih baik," katanya kepada pemberita. 

 


Tag: