• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Tiga Beradik Lemas : Mayat Terakhir Ditemui

HULU TERENGGANU, 28 Mei - Mayat terakhir tiga beradik yang dikhuatiri lemas semalam ditemui 12.40 tengah hari tadi.

Mangsa, Khalif Naim Mohd, 16, ditemui kira-kira 170 meter dari lokasi kejadian yang turut meragut nyawa dua abangnya.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi berkata, mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, mayat Umar Iskandar Mohd, 21, serta Khairil Firdaus Mohd, 17, ditemui jam 9.45 dan 11.35 pagi tadi.

Mayat mereka ditemui sekitar 100 dan 150 meter dari lokasi kejadian.

Ketiga-tiga jenazah itu dijangka akan dikebumikan petang ini di kampung ibunya di Kampung Alur Limbat, Marang.

Semalam, pada jam 6 petang tiga beradik itu dikhuatiri lemas ketika mandi di muara Sungai Telemong yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka.