• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tiga Beradik OKU, Main Game Jana Duit

MARANG, 25 Mac -  Tiga adik beradik Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menghidap sakit lumpuh, mampu menjana pendapatan sendiri dengan menceburi bidang e-Sport Gaming walaupun keadan fizikal mereka tidak seperti orang lain yang normal.

Dikhabarkan, ketua keluarga ini Omar Salleh, yang tinggal di kampung Paya, kehilangan isterinya kira-kira enam tahun lepas.

Dia mempunyai tujuh orang anak di mana empat daripada mereka menghidapi penyakit saraf dan lumpuh anggota badan.

Mohd. Adnan Omar, 35 berkata, dia bersama dengan abang, Osmanna Aziz, 53, serta kakak perempuannya, Nor Aini, 51 mampu meraih pendapatan sampingan sebanyak RM1,000 dalam permainan secara atas talian.

"Kebiasaannya kami bermain permainan yang hanya menggunakan tetikus, kerana tidak mampu menggunakan papan kekunci disebabkan keadaan fizikal yang tidak mengizinkan.

"Di kalangan peminat permainan secara atas talian 'Crusader', terdapat beberapa perkara yang melibatkan aliran wang dan jual beli untuk mendapatkan sesuatu dalam permainan tersebut, jadi di situ lah kami meraih sumber pendapatan.

Menurutnya, peralatan komputer dibelinya secara sedikit demi sedikit untuk mencapai spesifikasi yang diperlukan bagi menceburi bidang tersebut.

Katanya ketika menerima satu kunjungan daripada pihak agensi dalam program Mobile Team bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dan menyalurkan bantuan di Dun Rhu Rendang.

Antara agensi yang turut hadir adalah Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Tabung Darul Iman (TDI) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya memuji inisiatif yang dilakukan bagi mencari sumber pendapatan buat keluarga ini.

"Walaupun mereka tidak dapat bergerak secara sempurna seperti orang lain, mereka tetap berusaha mencari jalan untuk melakukan sesuatu apatah lagi dalam hal seperti ini.

"Untuk pengetahuan, salah seorang daripada mereka yang lumpuh mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah. Salah seorang daripada mereka mula menderita penyakit ini hampir 15 tahun yang lalu."

"Tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan Omar, iaitu Osmana Osman, Nor Aini, Osmanna Aziz dan Mohd. Adnan masing-masing lumpuh ketika berusia 28, 24, 21 dan 43 tahun.

"Yang paling menyedihkan sekarang ini, Pak Omar sekarang ini juga memerlukan pampers kerana turut diserang penyakit lumpuh, tambahnya lagi.

Sebelum ini, keluarga ini telah menerima bantuan daripada agensi tertentu seperti bantuan baik pulih rumah, bantuan am bulanan, pamper dan susu di samping pernah dikunjungi oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff.

 

 


Tag: