• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Tiga Bot Pukat Tunda Pahang Ditahan

KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Jabatan Perikanan Malaysia (Terengganu) berjaya menahan tiga buah bot tempatan yang berdaftar di Pahang bersama 15 kru dengan nilai sitaan keseluruhan hampir RM3 juta di perairan berdekatan Pulau Nyirih, Dungun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, hasil operasi penguatkuasaan pada waktu malam itu lima orang tempatan dan 10 warga asing daripada Myanmar ditangkap.

“Tangkapan pertama pada jam 1.30 pagi dengan pendaftaran bot daripada Nenasi, Pahang bersama pukat tunda zon C yang ditangkap di 6.6 batu nautika dari Pulau Nyireh. Tangkapan kedua jam 1.45 pagi manakala tangkapan ketiga berlaku pada jam 2 pagi.

“Ketiga-tiga bot telah melanggar Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika bagi Bot Zon C serta menangkap ikan kurang 12 batu nautika di negeri lain.

“Bot dan kru telah ditahan dan dibawa masuk ke Pangkalan Pulau Kambing untuk siasatan lanjut dan diproses mengikut saluran undang-undang,” katanya ketika ditemu bual di Jeti Pulau Duyong, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat.

Jelasnya, Akta Perikanan 1985 telah wujud sejak 36 tahun yang lalu dan semua pemilik lesen sudah dimaklumkan akan kewujudannya

“Tiada istilah tidak tahu kerana bot-bot pada masa kini dilengkapi sistem navigasi (GPS) dan sememangnya mereka sengaja dengan harapan tidak ditangkap.

“Kita perlu bertegas dan memberi isyarat betul, negeri Terengganu ada tuan dan jaga kebajikan nelayan, oleh itu, kita tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur pencerobohan yang telah berlanjutan sekian lama,” katanya lagi.