lightning-solid
Berita :
Tiga Daerah Jadi Perintis Jelajah Darul Iman Dekati Rakyat
Tiga Daerah Jadi Perintis Jelajah Darul Iman Dekati Rakyat
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
109

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Hulu Terengganu, Besut dan Kemaman dipilih sebagai tiga daerah perintis Program Jelajah Darul Iman 2026 dalam usaha Kerajaan Negeri membawa penyampaian maklumat lebih dekat kepada rakyat, khususnya komuniti akar umbi.

Program yang mengangkat tema “Mendekati Rakyat, Menyampaikan Maklumat” itu akan menjelajah ketiga-tiga daerah berkenaan sebelum penghujung tahun ini, dengan sasaran lebih 1,000 pengunjung menerusi pendekatan penerangan secara bersemuka, santai dan interaktif.

Timbalan Pengerusi Program, Nor Farahdila Mohamad berkata, program itu akan mendekati masyarakat secara lebih langsung, selain membuka ruang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat dan menyuarakan pandangan kepada kerajaan.

Menurutnya, Jelajah Darul Iman bukan sekadar pameran bergerak, sebaliknya menjadi platform interaksi dua hala antara kerajaan dengan masyarakat.

“Tidak semua lapisan masyarakat mendapatkan maklumat melalui media sosial atau platform digital. Justeru, Jelajah Darul Iman membawa maklumat kerajaan terus ke lokasi tumpuan masyarakat.

“Rakyat bukan sahaja boleh melihat dan membaca, malah berpeluang bertanya serta berkongsi pandangan secara langsung. Konsepnya mudah, iaitu Kerajaan Dekat, Rakyat Mendapat Manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang pelaksanaan Program Jelajah Darul Iman 2026 yang akan menjadikan pasar awam sebagai antara lokasi utama persinggahan.

Tambahnya, program tersebut juga mendapat kerjasama  daripada Pertima, Muslim Foods Industry Sdn Bhd, serta Pusat Khidmat Masyarakat setempat yang terlibat sepanjang pelaksanaan Jelajah Darul Iman.

Jelasnya, pasar awam dipilih kerana kawasan berkenaan mempunyai kadar kunjungan yang tinggi dan menghimpunkan pelbagai kelompok masyarakat termasuk peniaga, belia, keluarga serta komuniti setempat.

“Melalui pendekatan ini, maklumat berkaitan dasar, inisiatif, perkhidmatan dan pencapaian Kerajaan Negeri dapat disampaikan secara lebih dekat serta mudah difahami,” katanya.

Menurutnya lagi, setiap lokasi akan menampilkan mini pameran yang merangkumi empat zon utama iaitu Kenali UPDI dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, Kejayaan Kerajaan Terengganu, Suara Rakyat serta Live Media Sosial.

“Pengunjung juga berpeluang menyampaikan pandangan menerusi Papan Suara Rakyat.

“Pendekatan ini menjadikan penyampaian maklumat lebih hidup kerana rakyat bukan hanya menjadi penerima maklumat, tetapi turut mempunyai ruang untuk bersuara,” katanya.

Nor Farahdila berkata, program itu menyasarkan antara 200 hingga 400 pengunjung bagi setiap lokasi, dengan jumlah keseluruhan lebih 1,000 orang bagi tiga daerah perintis.

Katanya, penglibatan golongan muda turut diberi penekanan bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap pembangunan, kemajuan dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Jelajah Darul Iman mahu maklumat kerajaan keluar daripada ruang pejabat dan bergerak bersama rakyat.

“Kita mahu rakyat tahu apa yang sedang dilaksanakan, bagaimana mereka boleh mendapatkan manfaat dan pada masa sama memberi maklum balas kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan juga menjadi usaha memperkukuh komunikasi dua hala serta membina hubungan yang lebih dekat antara kerajaan dengan rakyat.

Katanya, pihaknya berharap pelaksanaan di tiga daerah perintis itu dapat menjadi asas kepada peluasan program berkenaan ke lebih banyak lokasi pada masa akan datang.

“Harapan kita supaya Jelajah Darul Iman dapat menjadi platform penerangan kerajaan yang berterusan dan memperkukuh imej Kerajaan Negeri sebagai kerajaan yang sentiasa mendengar, mendekati serta menyantuni rakyat,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan