Tiga Minggu Beroperasi, Pizza Talam Setiu Catat Sambutan Luar Biasa
Ariss Alias
1 jam yang lepas
52
SETIU, 10 Ogos - Perniagaan Pizza Talam Setiu yang baru beroperasi selama tiga minggu mencatat sambutan menggalakkan apabila jualan meningkat daripada 10 talam pada peringkat awal kepada sehingga 30 talam sehari ketika ini.
Pengusahanya, Muhamad Shahrizal berkata sambutan masyarakat setempat amat memberangsangkan, dengan rata-rata pelanggan memberikan maklum balas positif serta penilaian antara sembilan hingga 10 daripada 10.

“Alhamdulillah, syukur atas nikmat yang diberikan. Saya dan isteri, Izzah Irdina bermula dengan 10 talam dan hari ini sudah mampu menjual sehingga 30 talam sehari,” katanya.
Menurutnya, operasi perniagaan itu turut dibantu abang ipar dan biras bagi memastikan urusan penyediaan serta jualan berjalan lancar, terutama ketika menerima permintaan tinggi daripada pelanggan.
Beliau berkata jualan pada setiap hari biasanya hanya bertahan antara satu hingga tiga jam, bergantung kepada jumlah permintaan pelanggan.
Pizza Talam Setiu beroperasi di tapak letak kereta Padang Bola Kampung Rahmat, dengan menawarkan pizza bersaiz 10x14 inci dalam pelbagai pilihan topping dan ramuan.
Antara pilihan berharga RM39 ialah Special Talam Mix, Chicken Pepperoni, Beef Pepperoni, Tuna Mayo dan Tuna Mayo Spicy, manakala pilihan RM31 terdiri daripada Beef Ramly, Chicken Ramly, Meatball Blackpepper, Sardin serta Mix Sausage Crabstick.

Muhamad Shahrizal berkata pihaknya amat menghargai sokongan warga Setiu yang terus memberikan kepercayaan serta maklum balas positif sejak perniagaan itu mula beroperasi.
“Terima kasih kepada semua pelanggan yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kami. Sambutan ini menjadi pembakar semangat untuk kami terus menjaga kualiti produk,” katanya.
Beliau berharap sambutan positif itu dapat diteruskan dan Pizza Talam Setiu terus berkembang serta menjadi antara pilihan masyarakat setempat bagi pelbagai majlis dan jamuan.