• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 20 Mei – Tiga nelayan dikhuatiri hilang melibatkan dua kejadian berlainan meliputi kawasan perairan Kuala Terengganu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, disyaki hilang di laut selepas bot miliknya ditemukan nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Bot milik mangsa yang ditemui

“Antara aset yang diatur gerak adalah Kapal Maritim (KM) GEMIA, Bot Maritim Pengawal 16 dan pesawat udara maritim AW139 bagi mengesan kedudukan bot dari lokasi yang dipercayai berlakunya insiden.

“Operasi pencarian turut menerima bantuan aset daripada Jabatan Perikanan serta komuniti nelayan setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Salah seorang nelayan tempatan yang juga rakan sekampung mangsa, Mazlan Mamat, 58, memberitahu bot Sufian dijumpai nelayan lain sekitar jam 9 pagi dengan enjin bot masih berfungsi.

“Hanya peralatan mengail dan beg peribadinya yang dijumpai, Sopi (Sufian) ini seorang yang mahir dengan laut namun susah untuk tentukan bagaimana dia terjatuh kerana tiada saksi berada di perairan tersebut,” jelasnya.

Dalam kejadian berbeza, sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama dua kru termasuk tekong yang dipercayai mengalami kerosakan selepas terputus hubungan sejak semalam.

“Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 9.40 pagi tadi bagi mengesan kedudukan bot Jaafar Sulong, 66, dan kru dikenali sebagai Baharuddin, 30-an.

“Dikatakan sepatutnya pulang semalam dan cubaan ahli keluarga menghubungi kedua-dua mangsa juga gagal,” katanya lagi.

Tambah Suffi, laporan meteorologi hari ini menunjukkan cuaca baik dengan tiada amaran angin kencang atau laut bergelora serta tiada amaran hujan berterusan atau rebut petir.

Menurutnya, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Terengganu 09-6224357.