• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tiga Pelajar Terengganu Wakili Malaysia Ke Korea

Pengetua SAHUT(dua dari Kanan)bersama Guru Pembimbing Program, Ahmad Ridhuan bersama tiga pelajar yang bakal berlepas ke Korea pada 7 Ogos ini.


Tiga pelajar dari Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) terpilih untuk mewakili Malaysia ke pertandingan The 13th International Standards Olympiad yang akan berlangsung di Yongin, Korea.

Pelajar-pelajar berkenaan, Nik Nurasilah Nik Aziz, Najah Bahrin Shah dan Muhammad Amar Haqim Ramli yang berusia 15 tahun mendapat tempat pertama dalam saringan penulisan esei mengenai keselamatan di lapangan terbang pada tahun lepas.

Guru Pembimbing Program, Ahmad Ridhuan Azman berkata, program yang akan dijalankan pada 8 hingga 10  Ogos merupakan program Jabatan Standard Malaysia di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar bagi meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepenggunaan standard dan kepentingan.

"Dalam erti kata lain, ia memberi peluang kepada pelajar untuk mereka cipta sesuatu inovasi yang mampu digunakan secara global dan menyeluruh.

"Penyertaan bagi pertandingan ini ditaja oleh pihak Korean Agency For Technology and Standards (KATS) termasuk kos makanan dan tempat tinggal.

"Manakala bagi kos tiket penerbangan, pihak KATS menaja dua orang bagi setiap kumpulan peserta (50 peratus) dan selebihnya  adalah di bawah tanggungan pihak sekolah," ujarnya ketika ditemui di SAHUT, semalam.

Sementara itu, Najah yang pertama kali menyertai program berkenaan merasa teruja  apabila mendapat tahu bahawa kumpulan mereka berjaya mewakili Malaysia ke Korea.

"Bagi saya, kejayaan ini bukan sahaja membawa nama Malaysia tetapi membawa nama sekolah dan nama Hulu Terengganu ke persada lebih tinggi lagi.

"Walaupun kami belajar di sekolah pinggir bandar namun boleh berjaya dan mencipta nama setanding mereka yang berada di bandar terutamanya.

"Apa yang perlu kami reka, belum diketahui kerana soalan dan arahan akan diberikan pada hari pertandingan nanti, yang pasti kami perlu mereka cipta suatu produk untuk kegunaan global yang praktikal dan mudah dipakai," kata Najah.




Tag: