• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tiga Penyelesaian Tadbir Urus Kerajaan Terengganu


Oleh : Suhaimi Taib

MASAI, 21 Ogos - Terengganu melaksanakan tiga gerak kerja pemerintahan termasuk membaiki kelemahan pentadbiran kerajaan, memastikan kestabilan pentadbiran dan melaksanakan manifesto pilihan raya ke 14 (PRU14) yang lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri itu bergerak berdasarkan tiga perkara termasuk memperbaiki kelemahan kerajaan yang berlaku sebelum tahun 2018.

“Tetapi dalam usaha islah (memperbaiki) ini ada jalan mudah dan ada jalan susah, ada jalan singkat dan ada jalan yang perlu mengambil masa agak lama.

“Contohnya Taman Ilmu Tembila Besut, satu projek yang besar yang diketahui umum dan ia terbengkalai, ada masalah, sehingga hari ini kita (kerajaan) bawa penyelesaiannya di mahkamah.

“Begitu juga dengan projek Pelancongan Pulau Bayas Tasik Kenyir Hulu Terengganu diselesaikan mengikut keperluan dan manfaat untuk rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Anak-anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) Johor di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Kamaruzaman Abdullah, Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (Duat), Ustaz Ramlan Mahmood, Presiden Perantau Prof Dr Kamaruzaman Yussof, Ketua PERANTAU Johor, Zulkifli Ibrahim.

Mohd Nor seterusnya berkata, perkara kedua ialah kerajaan perlu menjaga kestabilan pemerintahan dan pentadbiran dengan tidak melakukan kezaliman dan balas dendam supaya kesejahteraan itu dirasai semua pihak.

“Budaya politik matang kita laksanakan dengan ambil masa yang tertentu bagi merealisasikan hasrat murni ini,” jelas beliau.

Tambahnya, gerak kerja ketiga ialah melaksanakan program untuk rakyat sebagaimana terkandung dalam manifesto pilihan raya tersebut.

“Alhamdulillah, saya melihat seluruh manifesto yang kita rangka ada yang sudah bermula pergerakannya dan dilaksanakan, ada yang sedang dalam perancangan dan akan dilaksanakan.

“Sementara itu ada yang agak lambat sedikit untuk dilaksanakan kerana memerlukan masa yang panjang. Sebagai contoh Bandar Baharu Lestari,” jelasnya lagi.

Katanya, dalam manifesto itu kerajaan berhasrat untuk melaksanakan banyak lagi bandar-bandar baharu lestari agar pembangunan tidak berpusat hanya di Kuala Terengganu dan di Sura Dungun dan beberapa bandar lain lagi.

“Macam mana kita mahu memperluaskan bandar-bandar ini ke kawasan lain, ini mengambil masa yang agak lama dengan menyusun dan merancang dengan teliti, peringkat demi peringkat,” ujarnya.


Tag: