Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
HULU TERENGGANU, 28 November -Tiga sekolah di Kuala Berang, di sini, ditutup berikutan banjir yang melanda.
Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, mula digenangi air sedalam lebih dua meter sejak awal pagi tadi.
Manakala, jalan utama ke Sekolah Menengah Agama Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, digenangi air.
Ketika tinjauan dibuat, anggota bomba balai Kuala Berang sedang giat membantu membawa keluar pelajar-pelajar sekolah tersebut dan ditempatkan di Surau Batu 24 sebelum diserahkan kepada ibu bapa.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Kuala Berang, Zulhisham Mohd Yusof, keadaan masih terkawal dan semua pelajar selamat.
"Kami menerima panggilan memintan bantuan untuk mengambil pelajar yang terkandas di kawasan sekolah dan pihak kami telah menyerahkan pelajar-pelajar terbabit kepada ibu bapa",katanya.
Seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, ZidniMohd Shahrul, 16 tahun, berkata air mula menggenangi sekolahnya sejak semalam.
"Air dekat pagar sekolah dekat paras pinggang dan guru minta semua pulang ke rumah, Alhamdulillah dengan bantuan pihak bomba semuanya berjalan lancar",katanya.
Manakala salah seorang bapa pelajar yang terkandas, Alias Ismail, dia datang mengambil anaknya yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Agama Mahmudiah selepas dihubungi anaknya.
"Anak saya telefon minta datang ambil sebab air makin naik jadi bimbang perkara tidak diingini berlaku saya terus bergegas ke sini dan mengambil anaklah," ujarnya.
Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari menyebabkan banyak kawasan di Hulu Terengganu di naiki air.
Setakat jam 10.00 pagi tadi, seramai 2,155 mangsa banjir dipindahkan di daerah terbabit dan ditempatkan di 34 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).